Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Denmark dan Perancis berpegangan tangan layak ke pusingan kedua

Denmark berjaya mengikat Perancis 0-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan C yang berlangsung di Stadium Luzhniki malam tadi. Keputusan ini bermakna kedua-dua pasukan akan mara ke peringkat kalah mati – Perancis selaku juara kumpulan dan Denmark selaku naib juara.

Berikut merupakan hasil pemerhatian kami sepanjang perlawanan yang berlangsung tadi:

Perubahan besar-besaran kesebelasan utama kedua-dua pasukan

Perlawanan ketiga ini memperlihatkan kedua-dua pasukan Denmark dan Perancis melakukan perubahan yang sedikit besar dalam kesebelasan utama mereka, memandangkan mereka berdua berpeluang cerah layak ke pusingan 16 terakhir tanpa perlu memikirkan keputusan perlawanan di Sochi antara Australia dan Peru. Bagi pasukan Perancis, sejumlah besar pemain telah direhatkan seperti Hugo Lloris, Samuel Umtiti, Paul Pogba, Blaise Matuidi dan Kylian Mbappe manakala pasukan Denmark juga turut merehatkan beberapa tonggak mereka seperti Yussuf Poulsen, Nicolai Jorgensen dan Lasse Schone sambil Age Hareide turut menukar formasi mereka daripada 4-3-3 kepada 3-4-3 untuk menggunakan 3 pertahanan tengah.

Denmark ambil inspirasi dari Uruguay

Jika melihat aksi pasukan Denmark dalam perlawanan tadi, ternyata Age Hareide menjustifikasikan keputusan beliau untuk menggunakan formasi yang melibatkan 3 pertahanan tengah, apabila barisan pertahanan mereka yang terdiri daripada Simon Kjaer, Andreas Christensen dan Matias Zanka Jorgensen berjaya mengekang asakan daripada barisan kuartet serangan Perancis iaitu Olivier Giroud, Thomas Lemar, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele sepanjang perlawanan tadi berlangsung. Mungkin Age Hareide telah memerhatikan bagaimana Uruguay dengan efisiennya memanfaatkan penggunaan pertahanan bertiga dalam perlawanan Uruguay vs Rusia pada malam sebelumnya lalu memutuskan untuk menggunakan pendekatan yang sama menentang Perancis.

Presnel Kimpembe > Samuel Umtiti?

Jika dilihat dalam dua perlawanan terawal, Samuel Umtiti telah menampilkan aksi yang bagus, walaupun dalam perlawanan menentang Australia, beliau melakukan kesilapan yang menyebabkan Australia dihadiahkan sepakan penalti dalam perlawanan. Namun, Presnel Kimpembe yang diturunkan dalam perlawanan pada malam tadi tampak menampilkan persembahan yang lebih memberangsangkan berbanding Umtiti pada dua perlawanan yang terawal. Didier Deschamps nampaknya perlu membuat keputusan yang penting menjelang aksi 16 terakhir untuk menentukan siapakah di antara Kimpembe dan Umtiti yang akan bergandingan dengan Raphael Varane dalam baki aksi Piala Dunia selepas ini.

Perancis dinafikan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan?

Sepanjang perlawanan tadi, Perancis kelihatan mempunyai beberapa panggilan yang jelas untuk mendapatkan sepakan penalti akibat kekasaran oleh pertahanan Denmark, namun pengadil tetap meneruskan perlawanan tanpa menghiraukan rayuan daripada pemain-pemain Perancis. Penalti atau tidak? Mungkin anda ada pendapat masing-masing yang boleh diperdebatkan, namun tidak kata pengadil.

Seri tanpa jaringan yang pertama selepas 36 perlawanan

Selepas 36 perlawanan kita menyaksikan bola berjaya dimasukkan ke dalam lubang-lubang gol, akhirnya pada malam ini kita telah menyaksikan perlawanan pertama yang tamat tanpa jaringan dihasilkan oleh kedua-dua pasukan yang terlibat. Ketumpulan serangan kedua-dua pasukan Denmark dan pasukan Perancis ataupun kekebalan barisan pertahanan kedua-dua pasukan? Terpulang kepada anda untuk menilainya sendiri.