Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Argentina bangkit, Marcos Rojo ranapkan impian Nigeria

Kebangkitan atau bernasib baik? Argentina berjaya mara ke pusingan seterusnya dan meranapkan impian Nigeria.

Lionel Messi menjaringkan gol pembukaan di separuh masa pertama untuk memberikan kelebihan kepada Argentina.

Victor Moses menyamakan kedudukan buat Nigeria menerusi sepakan penalti selepas pengadil meneliti rakaman VAR. Di penghujung perlawanan, Marcos Rojo tiba-tiba muncul di kotak penalti Nigeria tidak dikawal untuk merembat masuk gol kemenangan Argentina. Keputusan akhir Nigeria 1-2 Argentina. Ini merupakan analisis untuk perlawanan ini.

 

Ini skuad siapa?

Ini persoalan bagi semua apabila melihat kesebelasan utama Argentina. Retak di dalam skuad Argentina begitu jelas sehingga ada ura-ura mengatakan bahawa pemain-pemain tidak mahu Sampaoli mengendalikan pasukan bagi perlawanan ini. Tidak kira lah siapa pun yang menyusun skuad, tetapi Argentina perlukan kemenangan dan itulah formasi mereka. Menggunakan dua pemain di bahagian serangan dengan Higuain dan Messi, sekali lagi tiada ruang untuk Paulo Dybala. Bagi membantu tugas kreatif Messi, Ever Banega dibawa masuk supaya Messi tidak perlu terlalu turun ke bawah untuk beraksi di bahagian midfield. Selepa kesilapan memalukan, Caballero digugurkan dan Armani dibawa masuk. Mengetahui bahaya kepantasan pemain Nigeria, Argentina bermain dengan empat pemain pertahanan berbanding tiga pertahanan tengah menentang Croatia.

Ulang resipi sama?

Selepas kejayaan mereka menundukkan Iceland, Nigeria tahu mereka mempunyai barisan serangan yang mantap. Ahmed Musa dan Kelechi Ineacho laju dan mampu memberi kesukaran kepada Rojo dan Otamendi. Nigeria memadatkan bahagian tengah mereka dengan pemain-pemain yang berkerja keras seperti Wilfred Ndidi, Jon Obi Mikel dan Oghenekaro Etebo untuk menutup segala ruang yang ada. Tetapi adakah tiga pertahanan tengah Nigeria ini cukup untuk mengekang Messi dan Higuain? Argentina berbeza dengan Iceland yang tidak terlalu lancar dan pantas ketika menyerang.

Messi bebas dari belenggu

Akhirnya Messi tiba di Piala Dunia. Seperti dijangka, dengan Banega mengambil alih kerja merancang perlawanan di bahagian tengah, Messi dapat fokus lebih di bahagian serangan. Banega bijak merobek bahagian tengah Nigeria dan dibantu dengan larian-larian pintar daripada Messi, Di Maria dan Higuain, ianya bagaikan terlalu mudah buat Argentina. Dua pertahanan tengah Argentina, Otamendi dan Rojo juga cukup kental dengan mengawal rapat Ahmed Musa dan Kelechi Iheanacho. Kepantasan mereka dapat menyaingi dua penyerang Nigeria itu.  

Nigeria berterabur

Berterabur dan tidak tersusun. Itulah yang boleh diperkatakan mengenai Nigeria. Daripada pertahanan hingga serangan, tidak tersusun. Bagaikan ada 'gap' di antara pemain pertahanan dan barisan tengah. Messi, Higuain dan Di Maria bagaikan berhadapan dengan hanya tiga orang pemain pertahanan tanpa ada tekanan daripada barisan tengah Nigeria. Lihat betapa mudahnya Lionel Messi melepasi kawalan seorang pemain pertahanan Argentina untuk menjaringkan gol. Dua penyerang Nigeria juga terlalu serupa. Musa dan Iheanacho mempunyai gaya permainan yang menggunakan kelajuan dan 'direct'. Tetapi Otamendi dan Rojo bukan pertahanan Iceland. Nigeria juga terlalu tergesa-gesa dan banyak membuat hantaran jauh kepada mereka berdua. Tugas mudah untuk duo Manchester di benteng pertahanan Argentina untuk mengekang dua penyerang Leicester itu. Kemasukan Odion Ighalo pada separuh masa kedua memberikan kekuatan fizikal kepada barisan serangan Nigeria. Malangnya mereka gagal mengawal keadaan dan akhirnya tidak menyedari kehadiran Marcos Rojo dalam kotak penalti mereka yang mudah merembat masuk gol kedua Argentina.

Dominasi Eropah-Amerika Selatan

Seperti biasa, Piala Dunia akan terus didominasi pasukan dari Eropah dan Amerika Selatan. Agak pelik melihat pasukan dari Afrika bergelut kerana sebenarnya mereka mempunyai pemain yang bagus. Ambil contoh Nigeria, mereka ada ramai pemain berkualiti seperti Kelechi Iheanacho, Ahmed Musa, Jon Obi Mikel, Alex Iwobi dan ramai lagi. Namun, dari segi taktikal mereka sedikit naif. Mereka sebenarnya boleh memperlahankan perlawanan dan tidak terlalu tergesa-gesa. Mereka bagaikan terlalu terdesak untuk menjaringkan gol kedua dan banyak memberikan bola kepada Argentina. Jika mereka lebih pintar dan tidak terlalu mengikut rentak Argentina, mereka yang akan mara ke pusingan seterusnya dan bukan Argentina.