Luar Negara Piala Dunia 2018

Mohamed Salah sudah cergas hadapi Rusia, kata Hector Cuper

Mohamed Salah disahkan berada dalam keadaan yang cergas menjelang perlawanan antara Mesir dan Russia pada awal pagi ini.

Malah jurulatih Mesir, Hector Cuper juga optimis penyerang itu akan dapat diturunkan.

“Salah sudah kembali cergas.

“Kami sedang melakukan ujian fizikal terakhir sebelum menamakan barisan pemain.

“Hari ini kami melakukan ujian terhadapnya untuk melihat keadaannya. Saya berharap Salah cergas untuk bermain, saya pasti beliau boleh bermain. Beliau adalah percaturan penting buat pasukan kami,” katanya.

Salah menjaringkan 44 gol pada musim pertamanya bersama Liverpool dan tidak sabar untuk membuat kemunculan sulung selepas tidak beraksi pada perlawanan pembukaan yang menyaksikan Mesir tewas 0-1 kepada Uruguay berikutan kecederaan bahu yang dialami pada perlawanan akhir Piala Juara-juara Eropah menentang Real Madrid.

Namun bagi pengurus Russia, Stanislav Cherchesov pula percaya pasukannya mempunyai perancangan tersendiri untuk menghalang kemaraan Salah di Saint Petersburg nanti.

“Secergas mana Salah boleh bermain hanya beliau dan jurulatih yang tahu tetapi kami mempunyai misi dan kami akan teruskan misi itu.

“Kami telah mempersiapkan diri, kami melatih mengikut pelan, kami telah melakukan semua yang kami rancangkan.

“Kami sudah mengkaji Mesir dan kita harus mengeksploitasi kelemahan mereka.

“Setiap pasukan mempunyai pemain yang perlu diberi perhatian khusus. Mesir adalah pasukan yang seimbang dan, tentu saja, Mo Salah adalah pasukan terkuat dalam pasukan, kami memahaminya.

“Tetapi kami tidak bermain untuk melawan seorang pemain, kami perlu mengambil kira semua pemain, kami faham bagaimana untuk melakukan ini dan esok, anda akan melihatnya.

“Saya yakin terhadap pasukan saya, saya yakin dengan pemain saya dan saya akan memberi jawapan mudah, kami bersedia melakukannya dan kami akan lakukannya,” katanya.-AFP