Luar Negara Piala Dunia 2018

Falcao, pemain Colombia yang dilupakan orang ramai

Piala Dunia 2014 digemparkan dengan James Rodriguez, budak poster Colombia yang memenangi Anugerah Kasut Emas, terutamanya apabila menjaringkan gol paling cantik ketika menentang Uruguay.

Beberapa hari kemudian, James menangis di atas padang selepas Colombia tewas kepada Brazil di peringkat suku akhir.

Empat tahun kemudian, James dan Colombia kembali ke Piala Dunia dengan berjersi kuningnya, cuma bezanya terdapat bintang lain yang ikut sama. Selamat datang ke Piala Dunia, Radamel Falcao.

Sudah berusia 32 tahun, Falcao bolehlah dianggap terlambat untuk ke parti terbesar bola sepak. James mungkin telah menjadi bintang di Brazil, dan pastinya merupakan pemain paling berpengaruh Colombia semasa kempen kelayakan Piala Dunia.

Namun Falcao tetap mempunyai daya tarikan tersendiri dan kekal sebagai ikon bola sepak negara.

Daya tarikan Falcao cukup luar biasa di Colombia, sehinggakan apabila beliau menjalani pembedahan lutut pada bulan Januari 2014, pakar bedah yang melakukan operasinya menerima panggilan daripada presiden Colombia Juan Manuel Santos.

“Beliau memberitahu saya jika saya boleh menyembuhkan Falcao untuk Piala Dunia, saya akan tolong beliau menang pilihan raya,” kata José Carlos Noronha.

Keputusan pilihan raya menyaksikan Santos kekal berkuasa tetapi Falcao, walaupun berada dalam skuad 30 pemain ketika itu serta menghabiskan 10 sesi pemulihan dalam ruang hyperbaric untuk mempercepatkan penyembuhannya akhirnya tidak sempat untuk ke Piala Dunia.

Impian Falcao ketika itu untuk beraksi di Piala Dunia selepas 16 tahun Colombia gagal melayakkan diri akhirnya tidak kesampaian.

Namun ketiadaannya menimbulkan persoalan baharu.

Jika Colombia berada pada prestasi yang cukup bagus tanpa Falcao, apa yang akan berlaku jika Falcao turut beraksi?

Ataupun mungkinkah Colombia lebih baik beraksi tanpa Falcao?

Apa yang tidak boleh dilupakan ialah bagaimana Falcao mengalami beberapa musim yang mengecewakan sebelum ini.

Dalam 41 penampilan untuk Manchester United dan Chelsea antara September 2014 dan April 2016, beliau yang dipinjamkan oleh Monaco hanya menjaringkan empat gol.

Sampaikan Ivan Mejia, salah seorang pengulas bola sepak Colombia menganggap Falcao harus digambarkan sebagai “bekas pemain bola sepak”. Adakah karier Falcao sudah berada di penghujungnya?

Yang anehnya, dua musim kemudian, Falcao kembali ke Ligue 1 dan sejak itu beliau menjaringkan 51 gol untuk Monaco.

Ia satu respons terbaik kepada kritikan media dan menyaksikan Falcao kembali sebagai penyerang nombor 9 untuk Colombia dan menjadikan beliau pilihan utama berdepan Jepun hari ini.

Baju dengan nama Falcao juga ada di mana-mana.

Selepas Rusia, Colombia adalah negara ketiga yang paling ramai penyokong di Piala Dunia berdasarkan jualan tiket iaitu 65,234 tiket yang akan turun menyaksikan pertemuan Jepun sekali lagi seperti empat tahun lalu.

Yang menariknya, jurulatih Jepun, Akira Nishino, bercakap panjang mengenai pemain tengah Bayern Munich, James Rodriguez.

Nishino menyifatkan James sebagai simbol pasukan Colombia dan mengakui beliau mahu pemainnya mengawal ketat pergerakannya malam ini. Falcao yang merupakan penjaring gol terbanyak Colombia, tidak pernah disebut walau sekalipun.

Terdapat keraguan sama ada Falcao dan James boleh berfungsi dengan baik dalam satu pasukan kerana mereka sekadar dilihat sebagai gandingan yang baik di atas kertas berbanding di atas padang.

Jose Pekerman pula tidak bersetuju sebaliknya beliau menganggap pasukannya kini jauh lebih bagus dan lebih kuat dengan keupayaan pemain sedia ada dan berharap mereka dapat sekurang-kurangnya mempamerkan aksi mantap atau jauh lebih baik daripada empat tahun lalu.

James walaupun sedang bergelut dengan kecederaan betis, dijangka akan terus beraksi dengan konsisten dan pada masa yang sama menjaringkan gol. Bagi Falcao pula, Jepun hanyalah permulaan baginya.