Piala Dunia 2018 Luar Negara

Analisis: Wabak Ronaldo kian berleluasa di Moscow, Costa bakal jadi hero baru Sepanyol?

Dramatik!

Penyokong bolasepak di seluruh dunia menanti-nantikan pertembungan di antara Sepanyol dan Portugal malam semalam dan kita semua disajikan dengan aksi yang cukup menajubkan. Enam gol, satu jaringan hat-trick dan juga kemunculan Diego Costa.

Ronaldo meletakkan Portugal 1-0 di hadapan melalui sepakan penalti seawal minit ke-4, sebelum Diego Costa menyamakan kedudukan pada minit ke-24. Walau bagaimanapun, Ronaldo sempat meledak gol keduanya seminit sebelum waktu rehat untuk memberi kelebihan 2-1 kepada Portugal.

10 minit selepas babak kedua dimulakan, Diego Costa sekali lagi menjaringkan gol untuk menjadikan skor 2-2, sebelum cubaan mantap Nacho Fernandez meletakkan Sepanyol 3-2 di hadapan pada minit ke-58. Namun, Ronaldo muncul hero Portugal apabila meledak sepakan percuma yang cantik pada minit ke-88, sekaligus menyelamatkan Portugal dari ambang kekalahan.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tersebut:

HATI-HATI, WABAK RONALDO KIAN BERLELUASA DI MOSCOW

Pemain berstatus lagenda menerima status tersebut kerana mereka tidak sama sekali berputus asa. Bagi Ronaldo, ini merupakan Piala Dunia keempatnya - mungkin juga peluang terakhir untuk menjulang trofi tersebut. Dan 12 tahun selepas beraksi di Piala Dunia buat kali pertama, Ronaldo masih menunjukkan tahap keinginan yang tinggi di atas padang. Walaupun Spain mengawal tempo perlawanan dan berjaya berada 3-2 di hadapan sehingga minit-minit akhir perlawanan, wabak Ronaldo tidak dapat dielakkan dan bintang Real Madrid itu akhirnya menjaringkan hat-trick untuk menyelamatkan Portugal dari ambang kekalahan pada minit ke-88. Iran dan Morocco perlu berhati-hati dalam perlawanan seterusnya kerana wabak Ronaldo nampak semakin ganas dan berleluasa di Piala Dunia tahun ini.

DIEGO COSTA MAMPU BANTU SEPANYOL MENJADI JUARA

Skuad Sepanyol mempunyai pelbagai nama besar seperti Andres Iniesta, David Silva, dan juga Sergio Ramos, namun bagi penulis, pemain yang mampu mencetus kebangkitan mereka adalah Diego Costa. Mengapa? Costa merupakan satu-satunya pemain Sepanyol yang bermain dengan corak permainan yang berbeza. Sementara rakan-rakanya lebih suka mengawal bola, bermain dengan santai dan efektif, Diego Costa sentiasa tidak sabar untuk menyerang gawang gol lawan, dan aktif dalan menekan pertahanan lawan secara agresif. Ini memberi dimensi yang berbeza kepada skuad Sepanyol, seperti yang kita lihat malam semalam. Penyerang Atletico Madrid itu berjaya meledak dua gol, dan mungkin layak dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan, sekiranya Ronaldo tidak menjaringkan hat-trick.

SEPANYOL PERLU PERBAIKI KONSENTRASI

Hakikatnya adalah skuad Sepanyol perlu mengambil tanggungjawab terhadap keputusan perlawanan malam semalam. Biarpun mendominasi perlawanan dan berjaya menjaringkan tiga gol, kehilangan konsentrasi akhirnya menghalang mereka dari meraih tiga mata berharga. Kesilapan yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Portugal seawal mini ke-3, kelekaan David De Gea dan terjahan Gerard Pique yang memberi sepakan percuma kepada Portugal pada minit-minit akhir perlawanan - segalanya boleh dielakkan dan sepatutnya dielakkan.

PORTUGAL MEMPUNYAI 'LOOPHOLE' YANG BESAR

Biarpun berjaya seri 3-3- malam ini, kita seharusnya ingat bahawa Portugal kadang kala dibuli dengan mudah oleh pemain-pemain Sepanyol malam tadi. Jentera serangan Portugal wajar diberi pujian, namun bahagian pertahanan Portugal menunjukkan pelbagai kekurangan, terutamanya gandingan Pepe dan Jose Fonte. Kedua-dua pemain ini kini berstatus pemain veteran, dan tidak lagi bermain di pentas terbesar Eropah - Pepe kini beraksi untuk Besiktas di Turki, manakala Fonte pula bermain di Liga Super China. Dan perbezaan kualiti yang ketara cukup jelas malam semalam, apabila Diego Costa dengan mudah melepasi mereka.

IRAN PERLU BERWASPADA

Selepas menumpaskan Morocco malam semalam, Iran sudah tentu menabung harapan untuk mara ke peringkat kalah mati. Namun untuk perkara tersebut berlaku, mereka perlu menewaskan Portugal atau Sepanyol. Seperti yang kami katakan, skuad Portugal jelas mempunyai kelemahan di bahagian pertahanan tetapi isu tersebut turut dialami oleh skuad Iran. Barisan pertahanan mereka dikucar-kacirkan oleh Morocco malam semalam, biarpun tiba di Rusia dengan rekod defensif yang cemerlang ketika pusingan kelayakan. Carlos Quieroz perlu membantu anak buahnya mencari formula tersebut, sebelum perlawanan menentang Sepanyol (21/6) dan Portugal (26/6).