Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 13 Jun 2018

Beberapa pasukan di Eropah sudah mula menunjukkan usaha mereka untuk memperkasakan skuad masing-masing bagi menghadapi saingan pada musim depan.

Bagaimanapun, pemain-pemain juga tidak ketinggalan untuk memulakan proses mencari majikan baru atas beberapa sebab seperti mahukan cabaran berbeza serta jaminan dalam skuad utama. Berikut adalah lima transfer rumours pilihan untuk kali ini:

Toby Alderweireld

Benteng skuad Piala Dunia Belgium ini menjadi pilihan Manchester United untuk memperkuatkan barisan bawah, namun keengganan pasukan bimbingan Jose Mourinho untuk memenuhi tuntutan harga menyebabkan The Red Devils kini terpaksa mengalihkan perhatian kepada pemain lain seperti Raphael Varane, Jerome Boateng, Kalidou Koulibaly, Milan Skriniar, Alessio Romagnoli, Jose Gimenez dan Caglar Soyuncu. Spurs meletakkan tanda harga bernilai GBP70 juta, namun United hanya menyediakan dana berjumlah GBP50 juta.

Jasper Cillessen

Penjaga gol Belanda yang kini bersama Barcelona ini mula memikirkan untuk berpindah kerana mahukan jaminan dalam kesebelasan utama. Dia kini menjadi pilihan kedua di belakang Marc Andre ter Stegen, membuatkan beberapa pasukan seperti Arsenal, Liverpool, Chelsea dan Napoli mula mengintai khidmat pemain berusia 29 tahun ini.

Marek Hamsik

Beberapa pasukan dari liga China dilaporkan cuba untuk menarik minat kapten Napoli ini ke Asia. Berdasarkan laporan dari Corriere dello Sport, pemain tengah Slovakian ini mencuri perhatian Guangzhou R&F dan Guangzhou Evergrande, namun sebarang transaksi perpindahan dilihat hanya akan dapat dilengkapkan selepas berakhirnya saingan Piala Dunia. Ketika musim 2017/18 berakhir, Hamsik telah memberi bayangan bahawa dia mungkin akan meninggalkan naib juara Serie A itu pada musim panas ini.

Rodrygo

Real Madrid kini semakin hampir untuk mendapatkan tandatangan pemain berbakat dari Santos, Rodrygo. Pada usia 17 tahun, dia telah mencatat enam gol serta dua bantuan jaringan dalam 15 penampilan, sekaligus membuatkan Los Blancos bercadang untuk membawanya ke Santiago Bernabeu pada harga EUR45 juta. Bagaimanapun, jika perpindahan itu dilengkapkan, dia hanya akan ke Sepanyol pada 2020 di usia 19 tahun.

Christian Eriksen

Barcelona semakin menunjukkan minat untuk membawa pemain tengah Denmark ini ke Camp Nou. Kali ini, mereka bersedia untuk menyertakan nama Rafinha dalam usaha untuk menyokong perpindahan itu. Rafinha menghabiskan musim lalu bersama Inter Milan tetapi pasukan dari Itali itu sehingga kini masih belum mengaktifkan pilihan pembelian yang berjumlah EUR35 juta. Situasi itu akan digunakan oleh Barca bagi mendapatkan Eriksen, selepas Mauricio Pochettino sebelum ini dikatakan berminat dengan gaya permainan Rafinha.