Piala Dunia 2018 Luar Negara

Lima tonggak utama Sepanyol di Piala Dunia 2018 yang bukan dari Real Madrid dan Barcelona

Kejayaan skuad kebangsaan Sepanyol di Piala Dunia 2010 tidak dapat lari daripada sumbangan besar daripada pemain-pemain yang sebahagian besarnya mewakili Real Madrid dan Barcelona.

Dua kekuatan klasik negara Matador ini jelas menjadi penyumbang utama bakat skuad La Roja. Namun, situasi itu sedikit berubah di Piala Dunia 2018 nanti. Berikut adalah kelompok pemain Sepanyol yang tidak pernah bersama dua kelab gergasi itu.

David de Gea

Pada usia keemasannya, penjaga gol utama Manchester United ini dilihat sudah tidak sabar untuk membuktikan dirinya mampu menjadi pengganti Iker Casillas dalam skuad La Furia Roja. Persembahan De Gea di Liga Perdana Inggeris dalam beberapa tahun terakhir cuup hebat sehingga mebolehkannya memegang posisi penjaga gol utama di Piala Dunia pertamanya nanti.

Diego Costa

Ini merupakan peluang kedua buat pemain kelahiran Brazil ini. Dia tidak tampil meyakinkan untuk barisan depan La Roja ketika Piala Dunia 2014. Di Russia 2018, Costa sekali lagi diberi kepercayaan bersama rakan sepasukannya yang juga bukan dari Barca atau Madrid, iaitu Iago Aspas. Ini bakal menjadi detik penggempur Atletico Madrid ini membuktikan ketajamannya.

David Silva

Menjadi pemain tetap Sepanyol sejak Piala Dunia 2010. Silva dijangka membarisi jentera tengah Sepanyol di Russia 2018. Reputasinya digilap di Manchester City selepas berhijrah dari Valencia, membuktikan bahawa pemain berkualiti tidak semestinya harus diasah di Real Madrid atau Barca.

Cesar Azpilicueta

Posisi bek sayap dalam skuad Sepanyol akan diperkuatkan oleh pemain Chelsea, Cesar Azpilicueta. Pemain berusia 28 tahun ini tidak pernah mewakili Barcelona atau Real Madrid tetapi bakatnya dikesan Osasuna, sebelum menyinar bersama Olympique Marseille. Azipilicueta boleh beraksi untuk bek kanan serta kiri, sekaligus mampu menjadi pengganti yang baik jika Dani Carvajal atau Jordi Alba tidak dapat beraksi.

Jorge ‘Koke’ Resurreccion

Barisan tengah sememangnya menjadi nadi utama Sepanyol. Sejak Xavi Hernandez bersara, kelibat Koke menjadi pilihan utama dalam skuad kendalian Julen Lopetegui. Selain Koke, Saul Niguez juga mula dipertaruhkan pengendali itu untuk menggantikan tempat Andres Iniesta selepas Piala Dunia 2018. Gandingan dua tonggak Atletico Madrid ini dijangka menjadi jeneral di bahagian tengah Sepanyol, tidak lama lagi.