Luar Negara Piala Dunia 2018

Penyokong Amerika Syarikat paling ramai beli tiket Piala Dunia

Amerika Syarikat (AS) menjadi negara paling banyak penyokongnya yang akan menyaksikan Piala Dunia 2018 di Rusia daripada mana-mana negara lain, walaupun pasukan kebangsaannya gagal untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

FIFA telah mengesahkan bahawa 2.4 juta tiket telah dijual untuk kesemua 64 perlawanan, yang bermula pada hari Khamis ini apabila tuan rumah Rusia akan berhadapan dengan Arab Saudi di Stadium Luzhniki, Moscow.

Pada awal minggu ini, sebanyak 871,797 tiket telah dijual kepada peminat di Rusia, tetapi 88,825 jualan tiket telah direkodkan di AS sejak mula dijual pada bulan September lalu.

Brazil pula menjadi negara kedua yang paling banyak penyokong apabila sebanyak 72,512 tiket Piala Dunia telah terjual di negara tersebut.

Walaupun jarak dari satu stadium ke satu stadium lain di Rusia agak jauh, AS tetap mendominasi 10 negara teratas dari segi jumlah tiket yang dijual sehingga hari ini.

Tiket yang dibeli penyokong Colombia (65,234), Mexico (60,302), Argentina (54,031) dan Peru (43,583) semuanya lebih banyak daripada penyokong England, yang secara tradisinya merupakan salah satu pasukan terbaik di Piala Dunia kali ini jauh ketinggalan dengan sekadar 32,000 tiket yang dibeli setakat ini.

Juara bertahan, Jerman (62,541), China (40,251) dan Australia (36,359) melengkapkan 10 negara tersebut, selain turut disertai Poland, Sweden dan Denmark yang dijangka menerima sokongan daripada ribuan penyokong semasa Piala Dunia berlangsung.

Ketiadaan Itali, Belanda, Republik Ireland dan Chile yang disokong oleh 13,000 peminat semasa Piala Konfederasi berlangsung tahun lepas telah menyebabkan beberapa perlawanan di Piala Dunia kali ini menemukan pasukan-pasukan yang mempunyai jumlah penyokong yang lebih rendah berbanding edisi Piala Dunia sebelum ini.