Malaysia

FAM rancang enam perlawanan persahabatan untuk Harimau Malaya

Di sebalik kemeriahan menjelang Piala Dunia, apa yang sudah diatur untuk skuad Malaysia? Adakah pemain-pemain kita hanya akan fokus saingan liga dan menonton Piala Dunia di kaca tv sahaja?
Nampaknya tidak. Kerana mereka juga mempunyai tugasan antarabangsa mereka sendiri.

Sebagai persiapan menjelang Piala AFF Suzuki pada hujung tahun ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengaturkan, bukan satu, tapi ENAM perlawanan persahabatan untuk skuad Harimau Malaya.

Enam perlawanan telah diatur oleh FAM untuk Julai sehingga November dengan tiga perlawanan akan berlangsung di tempat sendiri dan tiga lagi di tempat lawan sebelum bermula kempen Piala AFF Suzuki.

Malaysia dijadual bertemu Fiji (5 Julai) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Republik Kyrgyztan (16 Oktober) di Stadium Bukit Jalil dan satu lagi perlawanan kelas A di Kuala Lumpur pada 3 November tetapi pasukan lawannya masih belum disahkan.

Bagi aksi di tempat lawan pula, Malaysia akan bertemu Chinese Taipei (7 September) di Taipei, Kemboja (10 September) di Phnom Penh dan Sri Lanka (12 Oktober) di Colombo.

Selain daripada persiapan untuk Piala AFF Suzuki, kesemua perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A ini akan digunakan untuk memperbaiki kedudukan semasa skuad Tan Cheng Hoe ini dalam ranking FIFA.

Semoga persiapan ini akan dapat membantu skuad Tan Cheng Hoe untuk aksi Piala AFF Suzuki nanti.