Piala Dunia 2018 Luar Negara

Barisan penyerang hebat Poland sebelum kemunculan Robert Lewandowski

Ketika ini ramai peminat yang taksub dengan kemampuan Robert Lewandowski. Dia dilihat sebagai seorang penyerang tulen yang sempurna. Teknik penyudah yang sempurna, kaki kanan dan kiri yang sama hebat serta unggul di udara. Sememangnya jika bercakap lebih spesifik, Lewandowski adalah penyerang tengah terbaik dunia ketika ini.

Bagaimanapun, sebenarnya fenomena Lewandowski bukan sesuatu yang menghairankan. Dari semasa ke semasa, Poland sering melahirkan penyerang yang bagus. Bahkan, ada antara mereka yang memberi kesan ketika tampil beraksi di Piala Dunia.

Ernst Wilimowski

Nama paling awal dalam senarai penyerang hebat Poland sebelum era Lewandowski. Wilimowski adalah penyerang Poland di Piala Dunia pertama mereka pada 1938. Dalam kejohanan itu, Poland tewas di tangan Brazil 6-5 tetapi Wilimowski tampil hebat apabila menyumbatkan lima gol ke gawang Brazil. Dia menyumbat 20 jaringan untuk skuad kebangsaan Poland. Apa yang menarik, selepas tamat Perang Dunia Kedua, Wilimowski memperkuatkan skuad Jerman.

Ernest Pohl

Berbeza dengan nama lain, Ernest Pohl (atau Pol dalam sesetengah bacaan), merupakan penyerang Poland yang terkenal di pentas Olimpik. Penampilan yang paling diingati adalah ketika Pohl menyumbat lima gol ke gawang Tunisia ketika Sukan Olimpik 1960 di Itali.

Gregorz Lato

Nama Lato sangat bersejarah di Poland. Bahkan, sehingga kini, dia masih disebut sebagai penyerang terbaik yang pernah dimiliki negara itu. Lato mempunyai kepantasan luar biasa, bahkan sering beraksi secara terbuka. Disebabkan, beberapa petikan sejarah meletakkannya di posisi sayap kanan. Prestasi terbaik Lato adalah membawa Poland menduduki tangga ketiga Piala Dunia 1974 dan Piala Dunia 1982.

Zbigniew Boniek

Disebut oleh Diego Maradona sebagai pemain dalam serangan balas. Ketika bersama Juventus, dia sempat membuatkan Giovanni Trapattoni bingung kerana kemampuannya mampu beraksi di pelbagai posisi. Bagaimanapun, dia merupakan penyerang buat skuad Poland. Boniek terlibat bersama Lato ketika menduduki tempat ketiga Piala Dunia 1982.

Emmanuel Olisadebe

Akhir tahun 80-an sehingga awal 2000-an dikatakan tempoh terburuk bola sepak Poland. Mereka begitu kecewa kerana tiada kelibat pemain yang benar-benar bagus sehingga melakukan proses naturalisasi terhadap pemain kelahiran Nigeria, Emmanuel Olisadebe. Jaringannya yang paling dikenali adalah sewaktu berdepan Amerika Syarikat ketika Piala Dunia 2002. Memiliki sentuhan yang tajam di depan gawang.

Euzebiusz Smolarek

Euzebiusz “Ebi’ Smolarek sering dilihat sebagai pemain yang biasa tetapi harus diakui bahawa zamannya bergelar pemain merupakan penyelamat ketika peralihan tempoh diantara era Jerzy Dudek ke Robert Lewandowski. Dia telah menjaringkan 20 gol buat Poland. Satu rekod yang diatasi oleh Lewandowski dalam enam tahun sahaja.