Liga Super Malaysia Berita

Tunggakan gaji: Melaka dan Kelantan terselamat, PDRM dipotong tiga mata

FAM akhirnya membuat keputusan untuk membuat pemotongan tiga mata kepada PDRM selepas gagal melunaskan tunggakan gaji dalam tempoh yang ditetapkan, namun Melaka United dan Kelantan terselamat daripada hukuman tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata ketiga-tiga pasukan tersebut diberikan tempoh kira-kira dua minggu untuk melangsaikan hutang berkenaan atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terlibat dan menetapkan tarikh pada 31 Januari lalu.

Selepas diberikan tempoh, Melaka dan Kelantan telah pun berjaya melangsaikan tunggakan gaji atau mencapai persetujuan untuk membayar secara ansuran sekaligus terlepas daripada pemotongan mata.

“Bagaimanapun, PDRM gagal untuk melakukan perkara yang sama, sekali gus FAM dengan ini terpaksa mengumumkan penolakan tiga mata terhadap PDRM apabila bermulanya saingan Liga Super 2020 pada 28 Februari 2020.

“FAM akan berkomunikasi dengan Malaysian Football League (MFL) untuk badan penganjur Liga Super itu melaksanakan arahan pemotongan tiga mata tersebut.”

PDRM akan diberi tempoh tambahan selama empat minggu untuk menyelesaikannya sehingga 28 Februari 2020.

“Jika masih gagal, PDRM akan dikenakan hukuman seterusnya iaitu pemotongan enam lagi mata.

Justeru FAM berharap PDRM akan mengambil serius untuk berusaha menyelesaikan perkara ini mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan itu.”

Menurut laporan FAM, Melaka mempunyai tunggakan gaji berjumlah RM2.7 juta tetapi berjaya membayar sebanyak RM2.1 juta dan membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

Kelantan pula mempunyai tunggakan gaji berjumlah RM1.6 juta tetapi telah berjaya membayar sebanyak RM1 juta dan membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

Bagaimanapun, jumlah yang dibayar oleh Kelantan tidak termasuk kes-kes yang telah dilaporkan dan akan diputuskan oleh FIFA, sekaligus mereka masih berdepan dengan hukuman lain.

Malah, Kelantan mempunyai tiga kes tunggakan gaji lain tetapi ia dalam proses untuk dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dan keputusan kes tersebut akan diputuskan kemudian.

Selepas tunggakan gaji di peringkat Liga Super dan Liga Premier diselesaikan, FAM akan memberi tumpuan kepada masalah tunggakan terhadap caruman wajib seperti potongan cukai LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

FAM berkata, tunggakan caruman itu bukan sahaja melibatkan Kelantan, Melaka dan PDRM tetapi juga beberapa pasukan lain yang tidak mempunyai masalah tunggakan gaji dengan pemain.

Ini bagi memastikan pasukan-pasukan yang terbabit membuat perjanjian bertulis untuk persetujuan kaedah dan tempoh penyelesaian tunggakan bersama agensi-agensi kerajaan tersebut.

Pada masa yang sama, FAM menafikan pihaknya terlepas pandang soal tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia sebaliknya mengakui mereka perlu menyelesaikan semua masalah tunggakan mengikut peringkat dan keutamaan terlebih dahulu.