Malaysia Berita

Liridon Krasniqi sah jadi warganegara Malaysia

Setelah berbulan-bulan menanti, Liridon Krasniqi akhirnya disahkan sebagai warganegara Malaysia, sekaligus layak beraksi untuk skuad kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata Liridon telah sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya, hari ini.

“Dengan memperoleh MyKad dan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari 2020 kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

“Diharap kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya nanti akan dapat memperkasakan lagi pasukan.”

Pemain berusia 28 tahun itu menjadi pemain naturalisasi kedua Malaysia selepas Mohamadou Sumareh.

Pemain yang berasal dari Kosovo itu merupakan sebahagian daripada inisiatif FAM dalam proses pengambilan pemain naturalisasi secara jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang.

Liridon tiba di Malaysia pada 2015 untuk menyertai Kedah dan kekal dengan pasukan itu selama empat tahun.

Musim lepas, beliau menyertai Melaka United, sebelum membuat keputusan untuk menyertai JDT pada musim ini.