Malaysia Berita

Mahu beraksi di Piala AFF, Curran Ferns sertai Liga Thailand

Pemain Felda United, Curran Ferns mempunyai sebabnya tersendiri apabila membuat keputusan untuk meninggalkan pasukannya dan berpindah ke Thailand untuk beraksi bersama kelab Sukothai FC.

Katanya, beliau mahu meningkatkan prestasinya sebagai pemain bola sepak supaya dapat dipilih untuk bermain di Piala AFF bersama pasukan kebangsaan hujung tahun ini.

“Saya masih muda dan mahu meningkatkan tahap permainan saya. Saya rasa Thailand adalah tahap yang lebih tinggi dan boleh membantu saya dalam pelbagai aspek,” katanya kepada Stadium Astro.

Pemain kacukan Malaysia-Australia itu menjadi pemain naturalisasi Malaysia kedua yang beraksi di Liga Thailand selepas Kiko Insa.

Pemain berusia 24 tahun itu merupakan antara pemain utama dalam kesebelasan Felda yang ketika ini selesa mendahului Liga Perdana.

Walaupun Felda kehilangan pemain berkualiti seperti Ferns, jurulatihnya B. Sathianathan tidak begitu bimbang sebaliknya berbangga dan berharap beliau akan berjaya di Thailand.

“Kalau beliau pergi Thailand sekalipun, itu adalah perkara yang cukup bagus untuk dirinya. Saya tidak akan menghalang sesiapa yang ingin menyertai kelab di luar negara sebab ini akan menjadi pengalaman yang penting untuk Ferns. Saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya.

“Pemain kacukan seperti beliau boleh sesuaikan diri di mana-mana sahaja. Lagi baik kerana ini akan membuka peluang untuk pemain lain ke Thailand,” katanya.

Ferns memulakan kariernya di Malaysia apabila beliau menandatangani kontrak dengan JDTII dari Brisbane City pada 2016 dan beliau kemudian menyertai Negeri Sembilan FA sebelum beraksi untuk Felda United tahun lalu.