Berita Asia Tenggara

Dua kelab Asia Tenggara berada dalam kelompok 30 pasukan dengan interaksi tertinggi di Media Sosial

Media sosial memainkan peranan penting dalam dunia masa kini. Ia bukan lagi menjadi tempat untuk kita bersosial, tetapi juga menjadi tempat kita mendapatkan maklumat.

Mengetahui kepentingan media sosial untuk mendekati para penyokong, banyak kelab di dunia sudah mempunyai akaun media sosial sendiri. Antara yang menjadi pilihan pastinya Twitter dan Facebook. Pelancaran jersi, pengenalan pemain, laporan perlawanan dan banyak lagi kini disiarkan di laman sosial pasukan.

Kini, penggunaan platform media sosial turut digunakan pasukan-pasukan di Asia Tenggara. Menurut laporan www.deportesyfinanzas.com, ada beberapa kelab di Asia Tenggara berada di dalam 30 kelab yang paling banyak berinteraksi di media sosial bagi bulan April.

Kelab yang mempunyai interaksi paling tinggi bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga Asia di Facebook adalah pasukan Persib Bandung yang mencatat angka 3,423,025. Bagi Twitter pula, Persib Bandung berada di tangga ketujuh dengan jumlah interaksi sebanyak 172,333. Apa yang menarik, jumlah interaksi akaun Persib Bandung di Facebook mengatasi pasukan-pasukan Eropah seperti Galatasaray, AS Roma, FC Porto dan Paris Saint Germain.

Satu lagi kelab Asia Tenggara yang berada dalam kedudukan 30 terbaik adalah Buriram United yang mencatat jumlah interaksi sebanyak 1,113,357.

Bagi Twitter, Persib Bandung dan Persija Jakarta berada dalam kelompok 10 pasukan Asia yang mempunyai interaksi paling banyak di Twitter. Persib berada di tangga ketujuh sementara Persija Jakarta berada di tangga kelapan dengan jumlah interaksi sebanyak 168,865.

Bagaimana pula dengan pasukan-pasukan di Malaysia? Masih ada yang tidak tahu kepentingan menggunakan media sosial sebagai alat penghubung dengan penyokong atau potensi menjana pendapatan pasukan menggunakan media sosial?