Piala Dunia 2018 Luar Negara

Profil Russia di Piala Dunia 2018: Keyakinan tinggi Beruang Merah di laman sendiri

Pada Disember 2010, Russia secara rasminya dipilih selaku tuan rumah Piala Dunia 2018. Ketika proses undian, negara Beruang Merah itu mengatasi calon-calon lain seperti Belanda-Belgium, England serta Portugal-Sepanyol.

Sejak detik itu, Persatuan Bolasepak Russia (RFS) bekerja lebih keras demi memenuhi semua aspek yang diperlukan agar penyelenggaraan Piala Dunia 2018 berjalan lancar.

Penyusunan itu berkait dengan sarana dan prasarana yang bakal digunakan sepanjang kejohanan untuk membuatkan pasukan kebangsaan Russia tampil lebih menyerlah di depan penyokong sendiri.

Melihat kepada prestasi Sbornaya dalam empat kejohanan utama yang terakhir, mereka perlu mengakui bahawa pasukan mereka bukan satu barisan yang lengkap. Tidak kira ketika Piala Eropah 2012 dan 2016, Piala Dunia 2014 serta Piala Konfederasi 2017, aksi Igor Akinfeev dan rakan sepasukannya hanya biasa sahaja.

Dalam semua kejohanan di atas, Russia sering gagal melepasi peringkat kumpulan. Dalam 12 perlawanan yang dilalui dalam empat kejohanan itu, hanya dua kemenangan diraih iaitu satu aksi di Piala Eropah 2012 dan satu perlawanan Piala Konfederasi 2017. Hasilnya, ramai penyokong masih meragui sejauh manakah Russia mampu menampilkan aksi cemerlang di pentas Piala Dunia 2018.

Bagaimanapun, Stanislav Cherchesov selaku pengurus pasukan tetap meletakkan keyakinan tinggi bahawa mereka akan dapat mempamerkan aksi terbaik untuk mengelak daripada sekadar menumpang tiket beraksi di laman sendiri.

Bayangan skuad

Ketika artikel ini disiapkan, Cherchesov masih belum mengumumkan barisan 23 pemain yang akan membawa cabaran mereka di Piala Dunia 2018. Namun, sehingga 11 Mei lalu, pengendali berusia 54 tahun itu telah mempunyai seramai 28 orang pemain.

Secara jujur, hampir keseluruhan skuad awal Russia tidak memiliki pemain yang begitu menonjol. Jika penggemar bola sepak mengenali mana-mana pemain Russia, mungkin ia hanya Akinfeev, Alan Dzagoev, Artem Dzyuba, Aleksandr Golovin, Roman Neustadter dan Yuri Zhirkov.

Dalam baki waktu yang ada, Cherchesov pasti akan menggunakan tempoh itu dengan cermat untuk memilih 23 nama terbaik bagi membawa cabaran di Piala Dunia kali ini.

Kekuatan

Tanpa kehadiran pemain berstatus bintang, Cherchesov berdepan cabaran mudah untuk membina skuad Sbornaya. Russia yang dikendalikan bakal mempamerkan sebuah pasukan yang kukuh ketika bertahan dan efektif dalam serangan untuk mengatasi pasukan lawan.

Dalam masa sama, semangat dan motivasi yang dipegang mereka pastinya tinggi selepas menerima sokongan daripada penyokong sendiri. Usah pelik jika prestasi Russia pada kali ini melebihi jangkaan dan melahirkan rasa kagum.

Kelemahan

Muramnya penampilan Sbornaya di empat kejohanan utama sebelum Piala Dunia 2018 menjadi bukti mudah bahawa kualiti mereka masih jauh ketinggalan. Jika tiada peningkatan ketara, tentunya tidak sukar untuk mengatasi Akinfeev dan rakan sepasukannya, terutamanya bagi Mesir dan Uruguay (lawan Kumpulan A) yang jauh lebih kuat di atas kertas. Dalam enam perlawanan aksi pemanas badan Piala Konfederasi 2017, Russia hanya menundukkan Korea Selatan manakala baki aksi diakhiri dengan keputusan seri dan kalah. Satu pencapaian yang jauh daripada meyakinkan.

Pemain utama

Walaupun susuk tubuhnya cukup 186 sentimeter, Akinfeev adalah contoh penjaga gol terbaik di negaranya. Daya tindak-balas, tangkapan bola dan kedudukan posisi amat tepat sehingga bola ancaman yang hadir ke gawang masih dapat dinafikan dengan baik. Situasi itu juga membuatkan barisan benteng berasa senang hati.

Ditambah dengan sejumlah pengalaman yang dimiliki (104 penampilan buat Russia sejak 2004), menembusi gawang Akinfeev pastinya bukan sesuatu yang mudah. Sekiranya dia mempamerkan persembahan mantap dan konsisten, pemain CSKA Moscow ini mampu membawa Russia lebih jauh di Piala Dunia 2018.

Jangkaan formasi

Dalam beberapa perlawanan terakhir, Cherchesov masih berpeluang mencuba formasi terbaik untuk pasukannya. Namun, apabila dilihat kepada aksi sebelum ini, formasi 3-5-2 atau 5-3-2 tampak menjadi pilihan bekas pengurus Spartak Moscow dan Terek Grozny ini.

Kedudukan di gawang sudah tentu diisi oleh Akinfeev yang turut memegang lilitan kapten. Di bahagian benteng, gandingan trio Vladimir Granat, Fedor Kudryashov dan Neudstadter dilihat sebagai pilihan utama.

Bahagian tengah, peranan sayap kiri dan kanan akan diisi oleh Aleksandr Semedov dan Zhirkov, dimana ia bakal menjadi kunci serangan Russia, sementara di tengah padang akan cuba dikawal oleh Dzagoev, Aleksandr Erokhin dan Anton Miranchuk atau pemain muda yang menarik perhatian, Aleksandr Golovin.

Akhir sekali, barisan depan Russia bakal dibarisi oleh Dzyuba dan Fedor Smolov, gandingan yang mempunyai pengalaman dan koleksi gol tertinggi berbanding rakan sepasukannya yang lain.

Peluang di Piala Dunia 2018

Aksi pembukaan menentang Arab Saudi bakal menjadi penentu perjalanan Russia dalam kempen kali ini. Jika menang, keyakinan untuk mara ke peringkat seterusnya akan meningkat dan menjadi motivasi untuk aksi seterusnya.

Namun, andai tewas, langkah mereka pasti terasa makin berat dan berpeluang besar untuk mengikut jejak langkah Afrika Selatan yang menjadi tuan rumah yang gagal melayakkan diri ke pusingan kedua. Ini disebabkan lawan seterusnya buat Russia adalah Mesir dan Uruguay, dua buah pasukan yang tidak mudah untuk dibolosi dan ditewaskan.

Melihat tahap Russia yang berada di kedudukan ketiga berbanding pasukan pilihan yang lain, layak ke suku akhir tentunya mampu menjadi pencapaian sensasi buat skuad Sbornaya.