Malaysia Berita

Tiada sebab tidak lepaskan pemain, kata Datuk Yusoff Mahadi

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menganggap kesemua pemain pasukan Bawah 23 tahun negara (B-23) mempunyai masa yang cukup untuk menyertai kedua-dua saingan liga dan latihan pasukan negara bagi menghadapi Sukan Asia 2018, Ogos ini.

Katanya, jurulatih Datuk Ong Kim Swee tidak perlu terlalu bimbang untuk mendapatkan pemain terbaik kerana hanya ada dua perlawanan awal Piala Malaysia berlangsung pada sesi latihan pusat bermula 1 Ogos nanti.

“Skuad B-23 akan memulakan latihan pada awal Ogos selama 10 hari sebelum ke Sukan Asia. Dalam tempoh itu, setiap pasukan baru mengharungi dua perlawanan Piala Malaysia dan selepas itu saingan bersambung semula selepas Sukan Asia.

“Saya melihat dua perlawanan ini tak akan memberi kesan kepada persiapan skuad B-23. Kita berharap agar pemain yang akan dipanggil oleh Kim Swee nanti akan mendapat pelepasan pasukan masing-masing kerana ini tanggungjawab mereka juga untuk membentuk pasukan ini.

“Skuad B-23 ini adalah pasukan masa depan negara, ini pasukan terbaik yang kita ada, jadi saya percaya, semua pasukan faham keperluan ini,” katanya kepada Berita Harian.

Bagaimanapun, Yusoff yang juga pengurus pasukan skuad B-23 turut khuatir sekiranya ada pasukan yang hanya melepaskan pemain pada saat akhir.

“Mungkin ada pasukan yang hanya mahu melepaskan pemain selepas dua perlawanan Piala Malaysia itu, tapi saya berharap ini tidak akan berlaku kerana sukar untuk jurulatih mempersiapkan pasukan pada saat akhir.

“Terpulang kepada penilaian jurulatih sama ada masih mahu menerima pemain pada saat akhir atau hanya mengekalkan pemain sedia ada,” katanya.