Santai Luar Negara

Pilihan Football Tribe: Kesebelasan terbaik LaLiga 2017/2018

Saingan liga tertinggi Sepanyol bagi musim 2017/18 telah berakhir, menyaksikan Barcelona dinobatkan selaku juara. Kini, sudah tiba masa untuk menamakan sebelas pemain terbaik untuk dijadikan pasukan terbaik musim ini. Berikut adalah senarai kesebelasan utama terbaik LaLiga versi Football Tribe.

GK: Jan Oblak (Atletico Madrid)

Oblak kembali menjadi watak utama di benteng terakhir Atletico Madrid. Oblak juga sering melakukan aksi halangan yang penting untuk memastikan gawang pasukannya hanya dibolosi 22 kali pada musim ini. Buat kali ketiga, penjaga gol Slovenia ini memenangi anugerah Zamora untuk penjaga gol terbaik.

RB: Mario Gaspar (Villarreal)

Tiada seorang pun bek kanan daripada tiga kelab teratas yang tampil secara tetap dan konsisten pada msuim ini, jadi pilihan kami adalah Mario Gaspar. Malangnya, pemain setia Villareal ini gagal menyertai skuad Sepanyol untuk Piala Dunia 2018. Mario beraksi sebanyak 32 kali, menyumbat dua gol serta tiga bantuan jaringan untuk membantu Villareal menamatkan saingan di tangga kelima liga.

CB: Diego Godin (Atletico Madrid)

Godin masih lagi menjadi nadi utama barisan bawah Atletico Madrid. Walaupun tidak mampu membawa pasukannya menjuarai liga, bek dari Uruguay ini menjadi salah satu kunci utama Atletico. Dia juga menjadi mentor buat pasangannya, Jose Gimenez.

CB: Djene (Getafe)

Persembahan hebat bek kental Togo ini membuatkan kelab yang dinaikkan, Getafe, menjadi pasukan ketiga paling kurang dibolosi. Menurut kajian WhoScored, pemain dengan nama sebenar Djene Dakonam ini adalah salah seorang pertahanan terbaik LaLiga musim 2017/18, selepas mencatat kadar 2.1 pintasan setiap perlawanan. Dia pasti akan menerima banyak tawaran daripada kelab lain apabila tamat musim ini.

LB: Jordi Alba (Barcelona)

Namanya sering dilupakan daripada sebuah pasukan yang dibarisi Lionel Messi, Luis Suarez dan Andres Iniesta. Namun, tidak dinafikan Alba adalah salah seorang bek kiri terbaik dunia. Kehebatannya dalam membantu serangan cukup untuk menghadirkan lapan bantuan gol serta dua jaringan, sekaligus meraih statistic yang hebat sebagai pemain pertahanan.

CM: Casemiro (Real Madrid)

Pemain tengah bertahan dari Brazil ini menjadi tonggak penting Madrid dalam beberapa musim terakhir. Dia sangat hebat dalam mematahkan usaha lawan sambil memulakan gerakan serangan pasukannya. Pemain dari Brazil ini juga cukup produktif dengan catatan lima gol bagi musim ini.

CM: Dani Parejo (Valencia)

Produk akademi Real Madrid ini menjadi salah satu kunci utama Valencia kembali ke saingan Liga Juara-Juara Eropah. Kejayaan yang ditunggu-tunggu oleh peminat Valencia ini dilihat tidak akan tercapai tanpa kepimpinan Parejo. Pemain tengah yang juga kapten Los Che ini menjadi saluran buat segala percaturan pengendali, Marcelino Garcia, di atas padang sehingga menyumbat tujuh gol dan tujuh bantuan jaringan.

CM: Fabian Ruiz (Real Betis)

Selepas Dani Ceballos berhijrah, Real Betis tidak ketandusan bakat untuk masa depan. Selepas kembali daripada proses pinjaman di Elche, Fabian kembali ke skuad utama Betis walaupun ia merupakan aksi debut di liga tertinggi. Fabian mengutip tiga gol serta enam bantuan jaringan, sekaligus membantu Betis kembali ke kancah Eropah, musim depan.

RW: Lionel Messi (Barcelona)

Nama ini sudah semestinya tidak boleh dilupakan dalam barisan terbaik LaLiga. Pada musim ini, dia muncul penjaring terbanyak serta kutipan bantuan gol tertinggi. 34 gol telah dihasilkan membuktikan kualiti bintang sensasi Argentina ini, membolehkannya menerim anugerah Kasut Emas Eropah kelima dalam kerjayanya.

FW: Cristiano Ronaldo (Real Madrid)

Walaupun menunjukkan tanda-tanda penurunan prestasi dari tahun ke tahun, Ronaldo masih dilihat bahaya buat pertahanan lawan. Dia hanya tampil 26 kali di LaLiga kerana sering direhatkan bagi memulihkan keadaan fizikalnya. Namun, dia masih mampu mengutip 25 gol untuk berada di tangga kedua di belakang Messi.

LW: Iago Aspas (Celta Vigo)

Pada usia yang telah melewati 30 tahun, Aspas tampil cemerlang dengan 20 gol. Jumlah itu menjadikannya penyerang tempatan paling produktif di LaLiga pada musim 2017/18 walaupun Celta Vigo mempamerkan aksi menurun pada musim ini. Aspas membuktikan bahawa dia tidak perlu beraksi buat kelab besar untuk bergelar pemain hebat dan dia juga terpilih ke skuad Piala Dunia 2018 Sepanyol.

Head Coach: Ernesto Valverde (Barcelona)

Kehadirannya sangat diragui sewaktu mula tiba di Barcelona tetapi dia membuktikan kemampuannya untk mengendalikan kelab besar. Tersingkir daripada Liga Juara-Juara pastinya ingin dilupakan, namun dia tetap mampu mencatatkan kejayaan besar. Memenangi LaLiga dengan perbezaan 14 mata daripada naib juara bukanlah sesuatu yang mudah diraih tetapi Valverde telah melakukannya bersama Barcelona.