Malaysia Liga Super Malaysia

Pasukan Malaysia siap sedia hadapi Kejohanan AFF U19 di Indonesia

Pemain muda Kedah, Zafuan Azeman merupakan antara 27 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih pasukan Bawah-19 kebangsaan (B-19), Bojan Hodak untuk menjalani kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya bermula Ahad ini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM, latihan tersebut diadakan sebagai persiapan awal menghadapi Kejohanan B-19 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 di Indonesia Julai depan.

Selepas sembilan hari berlatih di Wisma FAM, seramai 23 pemain terbaik akan dipilih dan dibawa ke Bangkok, Thailand pada 29 Mei untuk latihan dan akan beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan di selama seminggu sebelum pulang pada 5 Jun.

Selain 27 pemain berkenaan, lima pemain lain iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak dari pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Alif Safwan Sallahuddin, (Piala Presiden PKNP FC), Sharul Nazeem Zulpakar (Piala Presiden Selangor), Aliff Haikal Hakim Lau (Piala Presiden PKNS FC) dan Megat Syafique Syazwan Mohd Khairul (SSMP-AMD Panthers B-16) akan berada dalam senarai pemain simpanan jika terdapat mana-mana pemain daripada senarai 27 pemain itu mengalami kecederaan.

Dalam saingan Kejohanan AFF B-19 pada edisi ke-15 kali ini, Malaysia ditempatkan dalam kumpulan B bersama-sama empat pasukan lain iaitu Myanmar, Brunei, Timor-Leste dan Kemboja.

Sepanjang 14 kali kejohanan itu berlangsung, Malaysia tidak pernah sekalipun menjadi juara dengan pencapaian terbaik adalah naib juara sebanyak lima kali iaitu pada tahun 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.