Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Akhyar cemerlang sebagai penyerang tunggal, bantu Kedah atasi cabaran Jang

Negeri Sembilan hari ini menerima kunjungan pasukan dari Utara iaitu Kedah. Skuad Nizam Adha membuka tirai  jaringan melalui Liridon Kraniqi seawal minit ke-8. Tidak lama selepas itu, Akhyar Rashid menggandakan jaringan buat pasukan Kedah setelah menerima hantaran daripada Akram Mahinan pada minit ke-15.

Bersambung babak ke-2, permainan diteruskan dengan menampakkan peningkatan permainan oleh pasukan Negeri Sembilan. Hasil kerja keras mereka, Flavio Jr berjaya merapatkan jurang pada minit ke-76. Namun, usaha mereka sekurang-kurangnya untuk mencuri satu mata daripada pada pasukan Kedah tidak kesampaian apabila Suhaimi Mat Hassan meniup wisel penamat pada minit ke-95. Skor akhir kekal, 1-2 dan Kedah berjaya mengutip 3 mata berharga.

Swipe kiri untuk membaca beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan ini:

Pertahanan Negeri Sembilan yang rapuh

Mario Lemos menurunkan Fauzan Fauzi, Fauzan Dzulkifli, Alex Gomes dan L. Kalaiharasan bagi mengisi bahagian pertahanan skuad Hoben. Bermain dengan “high-line” namun mereka melakukan beberapa kesilapan menyebabkan bolos beberapa gol. Antaranya, kesilapan Alex Gomes yang tidak membuat “man marking” ke atas Akhyar menyebabkan pemain itu mudah melepasi bahagian pertahanan Negeri Sembilan untuk gol kedua Kedah. Selain itu, sistem pertahanan mereka tidak efektif dalam membuat perangkap ofsaid untuk mengekang larian-larian pemain-pemain Lang Merah.

Akhyar Rashid cemerlang sebagai penyerang tunggal

Bermain dengan taktikal 4-2-3-1 Nizam Adha meletakkan pemain muda negara ini di posisi penyerang tunggal. Di atas padang, tugas Akhyar lebih kepada penyerang “false nine”. Aksi beliau memberikan impak yang tinggi kepada pasukan Kedah. Beberapa larian dan kelincahannya merobek pertahanan Negeri Sembilan dan berjaya menghasilkan satu lorongan kepada Liridon dan satu gol pada separuh masa pertama.

Liridon Krasniqi kuasai bahagian midfield

Pemain Kosovo menunjukkan aksi yang memberangsangkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada malam ini. Bergandingan dengan Halim Saari dan Akram Mahinan, Liridon mudah menjadi arkitek dalam mengatur serangan skuad Lang Merah. Seperti biasa, gaya permainannya yang bersahaja dan tenang dalam “hold ball” dan melorongkan bola kepada rakan sepasukan membentuk satu permainan yang teratur buat pasukan Kedah. Banyak juga gerakan-gerakan “counter attack” yang digerakkan oleh beliau berjaya menggugat kubu pasukan Negeri Sembilan.

Flavio Jr membantu Negeri Sembilan pada babak kedua

Pemain midfield ini menunjukkan peningkatan permainan pada masa kedua dengan kemasukan dua pemain baru pada separuh masa kedua. Hal ini membantu beliau sedikit sebanyak untuk mengawal midfield Negeri Sembilan mengancam kubu pasukan Kedah. Ini jelas pada minit ke-76 beliau melepaskan satu rembatan diluar kotak penalti untuk merapatkan jurang. Namun, malang buat Negeri Sembilan, permainan kekal 2-1 sehingga wisel penamat ditiupkan.

Ifwat Akmal cemerlang di gawang gol Kedah

Penjaga gol muda ini mempamerkan aksi yang baik pada malam ini. Selain daripada aksi yang baik dipamerkan oleh bahagian pertahanan Kedah, Ifwat juga cemerlang dalam menghalang beberapa cubaan berbahaya oleh Negeri Sembilan. Jika tidak kerana kealpaan bahagian pertahanan Lang Merah pada minit ke-76 menyebabkan beliau kehilangan peluang untuk meraih “clean sheet”.