Luar Negara Eropah

Sebastian Giovinco: Cili padi Itali yang bergaji besar di pentas Major League Soccer

Pada pertengahan era 2000-an yang lalu, terdapat satu nama pemain muda di saingan Serie A yang muncul. Berbekalkan tubuh yang kecil iaitu 163 sentimeter, dia tetap memiliki kualiti teknik yang hebat, membuatkan Sebastian Giovinco  memikat perhatian walaupun beraksi dengan pasukan bawahan, Empoli, pada musim 2007/08.

Detik itu adalah waktu dimana Giovinco dipinjamkan oleh pemiliknya sah, Juventus, untuk menimba ilmu dan pengalaman di saat usianya yang baru memasuki 20 tahun. Persembahan yang hebat ditampilkan di Stadium Carlo Castellani membuatkan Giovinco disebut-sebut sebagai calon bintang masa depan buat skuad kebangsaan Itali.

Juventus sendiri memanggilnya pulang pada musim berikutnya kerana ingin mendapatkan aksi maksimum Giovinco. Namun, malang buat pemain itu apabila dia gagal meraih kepercayaan sepenuhnya daripada pengendali I Bianconeri, Claudio Ranieri dan Ciro Ferrera.

Tempoh permainannya merosok sehingga gagal memberikan kesan kepada pasukan. Lebih malang, perkara sama kembali terjadi ketika musim 2009/10 sewaktu Juve dikendalikan oleh Ferrera dan Alberto Zaccheroni.

Tidak mahu kariernya berlarutan sia-sia, Giovinco memilih untuk dipinjamkan ke Parma sejak musim 2010/11. Keputusan itu nyata menjadi tindakan yang tepat buat pemain kelahiran Turin itu apabila sinarnya kembali bersama I Gialloblu. Dua musim beraksi di Stadium Ennio Tardini, Giovinco beraksi lebih 60 perlawanan dan mencatat 20 jaringan. Melihat kepada statistik itu menyebabkan Juventus kembali memanggilnya.

Bagaimanapun, sekali lagi kisah malang Giovinco berlaku bersama skuad Hitam putih itu. Tiga musim mewakili I Bianconeri, dia tidak meraih banyak peluang untuk membuktikan kewujudannya. Karier yang sia-sia di laman sendiri membuatkan Giovinco mengambil keputusan untuk mencari cabaran baru. Kebetulan, dia menerima tawaran beraksi di Liga Bolasepak Major (MLS) dari kelab Kanada, FC Toronto, pada musim luruh 2015. Tanpa berfikir lama, dia menerima tawaran untuk ke Amerika Utara.

Bersama pasukan yang diberi jolokan The Reds itu, Giovinco yang diberi nama samara Semut Atom (merujuk kepada animasi hanna-Barbera) berjaya menampilkan kualiti sebenarnya. Dia menjadi tonggak penting buat Toronto sehingga pasukan yang beraksi di Stadium BMO Field itu meraih beberapa kejuaraan. Bermula daripada dua trofi Kejuaraan Bolasepak Kanada dan satu satu gelaran Piala MLS. Bersama Giovinco, The Reds melangkah ke final Liga Juara-Juara CONCACAF 2018 sebelum tumbang di tangan Guadalajara (Mexico).

Sumbangan pemain yang berusia 31 tahun itu membuatkan pengurusan Toronto FC tidak berfikir panjang untuk memberikannya ganjaran gaji paling tinggi dalam pasukan, apabila melebihi jumlah USD7.1 juta. Lebih hebat, berdasarkan senarai rasmi pemain dalam liga nombor satu Amerika Syarikat itu, gaji itu adalah gaji tertinggi dalam liga.

Rakan sepasukannya di Toronto FC, Michael Bradley, muncul sebagai pemain kedua tertinggi pendapatan dengan pendapatan berjumlah USD6.5 juta setahun. Pemain Los Angeles FC dari Mexico, Carlos Vela, menduduki tangga ketiga senarai pendapatan tertinggi MLS apabila meraih USD6.3 juta.

Sedikit maklumat, sebelum Giovinco muncul sebagai pemain dengan bayaran tertinggi, pemain Brazil yang mewakili Orlando City FC dan baru bersara, Kaka, adalah penerima gaji tertinggi di MLS.