Malaysia Liga Super Malaysia

Harry Novillo kini muncul sebagai pemain paling bernilai di Liga Super Malaysia

Bintang import baru Johor Darul Ta’zim, Harry Novillo kini telah mengambil alih tempat pertama dalam senarai pemain paling bernilai di pentas Liga Super Malaysia, menurut data yang disediakan oleh laman web TransferMarkt.com

Sebelum ini, Natxo Insa dan Alvaro Silva menduduki tempat pertama dengan nilai 800 ribu Euro, namun selepas Harry Novillo membuat penampilan pertamanya untuk JDT malam semalam, TransferMarkt.com kini menyenaraikan Novillo sebagai pemain termahal dengan nilai 900 ribu Euro.

Natxo Insa, Alvaro Silva dan senarai 10 pemain paling bernilai di pentas Liga Super

Malam semalam, Novillo berjaya menunjukkan aksi yang bagus untuk membantu JDT seri 2-2 menentang Selangor di Stadium KLFA. Walaupun pada mulanya nampak sedikit malap pada babak pertama, Novillo bangkit semula pada babak kedua dan sempat menjaringkan gol penyamaan dengan tandukan yang tepat.

Novillo jelas mempunyai reputasi yang besar. Selepas memulakan kariernya bersama Olympique Lyon, di mana beliau memupuk persahabatan yang akrab dengan penyerang Arsenal, Alexander Lacazette, Novillo bermain untuk beberapa kelab di Perancis, sebelum berhijrah ke Australia untuk menyertai Melbourne City.

Di pentas A-League, Novillo sering mencuri tumpuan dengan aksi-aksi yang cemerlang dan pemain yang berasal daripada Perancis ini turut mencetus kesefahaman yang baik bersama Aaron Mooy, yang kini bermain untuk Huddersfield di Liga Perdana Inggeris.

Selepas meledak 13 gol dalam 31 perlawanan, Novillo dibawa ke Turki oleh Manisaspor, sebelum akhirnya menyertai Baniyas Club di Dubai pada bulan Januari 2017. Dan selepas menyumbat 10 gol dalam 13 perlawanan di sana, Novillo akhirnya menyertai JDT dua minggu lepas.