Menjelang Sukan Asia di Jakarta, Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) mula merangka untuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi menguji skuad bawah 23 tahun Indonesia.
Menurut laporan media Indonesia, skuad Garuda Muda akan mengadakan sekitar empat hingga enam perlawanan persahabatan sebelum beraksi di Sukan Asia pada pertengahan Ogos nanti.
“PSSI telah merancang 4-6 perlawanan persahabatan menjelang Sukan Asia. PSSI masih berbincang dengan ketua jurulatih, Luis Milla mengenai kualiti pihak lawan yang diinginkan dan sama ada perlawanan tersebut akan diadakan di sini atau di luar negara. Itu masih dalam perbincangan, tetapi yang sudah pasti adalah kita akan menentang pasukan dari negara Asia,” kata Ketua Umum PSSI, Joko Driyono seperti dilaporkan Bolalob.com.
Setakat ini, dua negara yang dikatakan berminat untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang Indonesia adalah Korea Selatan dan Thailand.
Kedua-dua pasukan berminat untuk mengadakan perlawanan bertemu Indonesia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana di Indonesia sebelum Sukan Asia berlangsung nanti.