Luar Negara Asia

Perlawanan Persija Jakarta menentang Persib Bandung ditunda

Kedua-dua pasukan sudah melakukan persiapan, penyokong juga sudah bersedia, bahkan ada penyokong dari luar negara yang sudah membeli tiket penerbangan pulang ke Indonesia untuk perlawanan ini, tetapi tiba-tiba diumumkan perlawanan ditunda.

Itulah yang berlaku kepada perlawanan terhangat Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta menentang Persib Bandung yang dijadualkan berlangsung pada 28 April di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Menurut Ketua Pengarah Persija,Gede Widiadi, perlawanan tersebut akan berlangsung pada hari Khamis, 3 Mei nanti.

Gede dalam satu laporan Bola.com menyatakan bahawa perlawanan terpaksa ditunda atas saranan pihak polis.

“Pihak Polis tidak memberikan izin dan mencadangkan agar perlawanan diadakan selepas May Day. Jadi pilihan yang ada hanya pada 3 Mei.

“Perlawanan tetap di Stadium Utama Gelora Bung Karno, tetapi masa perlawanan diawalkan ke 3.30 petang.”

Penundaan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pasukan dan juga para penyokong. Instagram Persija Jakarta telah dibanjiri banyak komen yang mengecam tindakan menunda perlawanan sengit ini.

Ada yang menyatakan bahawa Persija sengaja menunda perlawanan kerana ada sebilangan pemain utama mereka tidak dapat beraksi dalam perlawanan tersebut kerana kecederaan dan juga panggilan ke skuad negara.