Malaysia Asia

Longhi bangga dengan tiga penyerang tempatan JDT

Meskipun gagal melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN, jurulatih JDT, Raul Longhi tetap berasa bangga dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas Song Lam Nghe An lagi-lagi terhadap prestasi penyerang tempatan dalam pasukannya.

Katanya, selama ini JDT mempunyai masalah ketiadaan pemain import yang boleh menjaringkan gol secara konsisten sejak dua bulan lalu dan ini menjejaskan barisan serangan khususnya apabila bersaing dalam Piala AFC dan hanya bergantung kepada penyerang tempatan.

“Kami sebenarnya tiada penyerang yang mampu menjaringkan gol. Walaupun tewas kepada Pahang baru-baru ini tapi ia tidak menjejaskan kesungguhan pemain yang diturunkan untuk bangkit dan mencatatkan kemenangan ke atas Song Lam Nghe An.

“Sebab itu saya bangga dengan penyerang tempatan terutamanya Hazwan Bakri, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad, walaupun muda tapi mereka menunjukkan peningkatan dan memberi impak positif dalam pasukan.

“Ya, kami terkeluar daripada saingan Piala AFC tapi ini bukan penamat kerana objektif utama adalah menjuarai Liga Super,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, pasukan Song Lam tidak sepatutnya dapat menjaringkan dua gol dalam tempoh singkat jika benteng pertahanan beraksi dengan lebih tenang ketika mendahului 2-0 sebaliknya mereka terpaksa bangkit untuk mencari gol kemenangan.

“Ini tidak boleh berulang dan perlu segera diperbaiki kerana jika pemain hilang fokus sudah tentu akan memberi ruang selesa buat lawan mengambil kesempatan.

“Benteng pertahanan JDT kena peka dan tidak boleh lagi berada dalam zon selesa dan mereka harus sedar pasukan lawan akan sentiasa mengintai peluang untuk menjaringkan gol jadi kami harus memperkemaskan lagi posisi itu,” katanya.