Malaysia Liga Super Malaysia

Tewas dan tersingkir, Safiq Rahim mahu JDT bangkit semula

Kapten pasukan JDT, Safiq Rahim mahu menaikkan semula semangat rakan sepasukan selepas melalui dua perlawanan sukar menentang Pahang dan Song Lam Nghe An yang menyebabkan pemain-pemain hampir kehilangan semangat juang masing-masing ketika ini.

Katanya, walaupun JDT sudah tersingkir daripada Piala FA dan Piala AFC, pasukannya tidak akan patah semangat dan akan sentiasa berjuang sehingga menjulang Liga Super musim ini.

“Perlawanan-perlawanan ini sedikit sebanyak telah menaikkan moral para pemain. Kami telah cuba melakukan yang terbaik untuk perlawanan ini. Hanya rezeki tidak berpihak kepada kami.

“Kami tidak akan berhenti dan akan sentiasa terus mencuba. Perkara yang baik mesti diteruskan. Perkara yang tidak baik perlu dihindarkan dan segala kesilapan perlu diperbetulkan. Kami masih mempunyai masa untuk mendapatkan objektif kami,” katanya menerusi laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Tambah Safiq, apa yang penting ketika ini adalah mengembalikan semangat positif dalam kalangan pemain dan juga para penyokong untuk terus menyokong dan yakin dengan kemampuan JDT meraih kejuaraan.

“Kami ada sedikit terkesan apabila perkara tidak baik berlaku kepada kami. Walaupun ia merupakan satu keputusan yang tidak baik namun kami perlu terus melangkah dan mencari penyelesaian untuk terus menjadi yang terbaik untuk masa akan datang.

“Objektif kami adalah Liga Super dan kami perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada saingan liga. Kami akan teruskan berusaha untuk mengembalikan semula moral positif dan aura positif ke dalam pasukan serta kepada para penyokong JDT.