Malaysia Liga Super Malaysia

Ke mana hala tuju Badhri Radzi selepas Kelantan?

Seorang demi seorang pemain Kelantan meninggalkan pasukan ekoran masalah kewangan yang melanda. Terbaru, ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi juga dikatakan akan dilepaskan dan bebas mencari pasukan baru.

Berusia 35 tahun, mungkin tidak banyak kelab akan berminat mendapatkan pemain yang terkenal dengan gelaran Piya ini, tetapi pengalamannya pasti berguna kepada mana-mana kelab. Mari kita lihat pasukan mana yang mungkin sesuai untuk disertai Piya.

Felda United

Biarpun beraksi di Liga Premier, Felda United menunjukkan aksi hebat musim ini dengan menduduki tangga teratas liga. Namun, mereka tewas dalam saingan Piala FA kepada PKNP pada hujung minggu lalu. Felda mempunyai pemain senior seperti Shukor Adan untuk mengemudi bahagian pertahanan. Pengalaman yang dimiliki Piya mungkin berguna untuk membantu serangan Felda United.

Felcra FC

Pasukan yang baru naik ke Liga Premier daripada Piala FAM ini menunjukkan aksi baik untuk merebut slot ke Liga Super musim hadapan. Dengan adanya pemain seperti Anselmo Cassagrande, hantaran piya terutamanya ketika situasi set piece sangat berguna buat pasukan ini.

Pulau Pinang

Pulau Pinang yang dibimbing oleh Zainal Abidin Hassan nampaknya tidak begitu menyerlah musim ini. Biarpun dibarisi pemain-pemain yang baik seperti Azidan Sarudin, Ken Ilso dan Norhafiz Zamani Misbah, mereka ketinggalan untuk merebut slot ke Liga Super. Barisan tengah mereka kurang kreatif apabila hanya mampu menjaringkan enam gol daripada tujuh perlawanan. Kreativiti Piya di bahagian tengah mungkin boleh menjadi kunci untuk membantu Ken Ilso menjaringkan lebih banyak gol.

D’AR Wanderers FC

Antara pasukan yang berbelanja besar di Piala FAM. Mereka membawa masuk ramai bekas pemain Kelantan seperti Daudsu Jamaluddin dan Nor Farhan Muhamad. Mungkin Piya juga boleh menyertai kontinjen Kelantan dan membantu D’AR Wanderers naik ke Liga Premier?