Malaysia Berita

Andrezinho mengalami pengalaman paling pahit ketika bersama Kuantan FA

Pemain import Kuantan FA, Andrezinho merasakan sepanjang tempoh tiga bulan bersama pasukannya tanpa diberikan gaji adalah pengalaman paling pahit buat dirinya sebagai seorang pemain bola sepak.

Bekas pemain JDT dan PDRM itu cukup kecewa dengan pengurusan Kuantan FA iaitu Marcerra United yang langsung tidak mengotakan janji yang dibuat kepada semua barisan pemain pada awal musim.

“Jurulatih sendiri memberi sokongan kepada kami dan apabila dia sedar perhatian tidak diberikan kepada kami seperti sepatutnya, dia pun membuat keputusan untuk tidak tampil ketika perlawanan.

“Terlalu banyak janji diberikan kepada kami. Pihak Marcerra akan masuk ke bilik persalinan dan berjanji akan menyelesaikan isu gaji kami dan semua orang mengharapkan ia ditunaikan tetapi semua itu tidak berlaku,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, pemain dari Brazil itu juga menganggap pasukan Kuantan FA mempunyai potensi yang cukup besar dalam saingan Liga Perdana meskipun tidak mempunyai pemain bintang.

Namun, masalah tunggakan gaji yang berlarutan menjejaskan semangat pemain yang ingin menyerlahkan potensi mereka.

“Pemain-pemain dalam pasukan ini tidak terkenal pun di Malaysia tetapi mereka mampu bermain bola sepak dengan baik.

“Jika lihat ketika kami bertemu Pulau Pinang sebelum ini, mereka adalah sebuah pasukan yang menjalani latihan dengan intensif sedangkan kami hanya berlatih selama empat hari tanpa bantuan mana-mana pihak, tetapi kami tetap mampu meraih keputusan seri,” katanya.