Liga Super Malaysia

Dilanda krisis kecederaan, Dollah harapkan keajaiban menentang JDT

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengharapkan keajaiban apabila kehilangan beberapa tonggak utama pasukan di kala berhadapan dengan perlawanan genting menentang JDT pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Larkin, malam ini.

Katanya, setakat ini dua pemain utamanya iaitu Matthew Davies dan Safuwan Baharudin masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Apa yang lebih membimbangkan apabila pemain import, Mohamadou Sumareh mengalami demam panas manakala Norshahrul Idlan Talaha pula hanya dapat bersama pasukan malam ini kerana masalah peribadi.

“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan keputusan sama ada Davies, Safuwan, Sumareh dan Mat Yo dapat beraksi atau tidak hanya diketahui malam ini.

“Bagaimanapun, saya tetap membawa mereka ke Larkin. Jika mereka tidak dapat beraksi, saya tiada pilihan lain, terpaksa harapkan pemain yang ada.

“Peluang masih ada tapi saya hanya mengharapkan keajaiban ketika bertemu JDT,” katanya kepada Berita Harian.

Pertemuan seri tanpa jaringan di Kuantan pada aksi suku akhir pertama lalu menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang untuk memenangi perlawanan pada malam ini.

Pemain tempatan seperti R. Kogileswaran dan Azam Azih dijangka menjadi pemain sandaran utama Pahang dalam perlawanan kali ini.

Namun, Dollah menegaskan pasukannya tidak akan bermain secara bertahan biarpun dihimpit masalah kecederaan pemain.

“Kami akan bermain seperti biasa. Siapa sahaja yang diturunkan pastikan beri aksi terbaik sebab saya tidak boleh terlalu berharap kepada pemain-pemain yang cedera,” katanya.