Kolum Luar Negara

Tribe Nostalgia: Edgar Davids, lagenda Belanda yang mempunyai aura yang menakjubkan

Dalam ramai pemai bolasepak di dunia ini, Edgar Davids satu-satunya pemain yang aku jumpa dua kali di tempat awam. Kali pertama di pertengahan 90-an, dia sedang bersiar-siar di kota Amsterdam bersama kekasihnya yang melihat-lihat kedai di tepi jalan. Setiap kali kekasihnya berhenti, Davids akan terus berjalan sehinggakan kekasihnya perlu bergegas untuk mengejar beliau.

Ini berlaku beberapa kali ketika itu sehingga kedua-duanya hilang dari pandangan mataku. Kali kedua, beberapa tahun selepas itu, ketika dia sudah berpindah daripada AC Milan ke Juventus, dan kali ini di Karnival Notting Hill. Kekasihnya ketika itu kelihatan seperti model yang baru lepas menjalani penggambaran bersama majalah Vogue dan dia pula berpakaian selekeh seperti seorang penjual radio tiruan. Dua kali aku bertemu Davids, rendah daripada apa yang aku selalu bayangkan ketika beraksi di atas padang, dia sentiasa bergerak mengikut rentak sendiri, tidak tergesa dan penuh keyakinan.

Aku selalu merasakan keyakinan Davids adalah satu perkara menarik dan mungkin juga ada sedikit rasa iri hati. Bagaimana anda boleh begitu yakin dengan diri sendiri sehingga ke tahap itu? Apa lagi yang boleh kau capai? Apa lagi yang kau mahu? Aku masih ingat temuramahnya selepas perlawanan Liga Juara-Juara di mana Alessandro del Piero menjaringkan hatrik, dan ketika itu Davids disoal mengenai jaringan penyerang Itali itu. Dia membalas: “Adakah kita sedang bercakap mengenai del Piero? Atau mengenai Edgar Davids?”

Walaupun Davids sering dikenali sebagai seorang pemain yang mempunyai teknik hebat, tetapi mungkin kita juga perlu mengakui bahawa keyakinan tinggi ini juga membantu pemain ini menjalani kerjaya yang cukup hebat. Dia mungkin bukan seorang pemain tengah yang besar dan tinggi, tetapi auranya di atas padang tidak dapat dinafikan. Dia seorang pemain yang unik – seorang pemain tengah bertahan yang agresif tetapi dengan keupayaan menggelecek seperti seorang pemain sayap lincah. Dan ini kadang kala dilupakan oleh penyokong Barcelona, Davids merupakan tonggak untuk kejayaan yang mereka kecapi sekarang.

Mengambil masa enam bulan, Davids membuat satu keputusan penting yang telah menjadi tunjang kejayaan Barcelona , tetapi di saat itulah jurulatih Barcelona ketika itu, Frank Rijkaard benar-benar memerlukannya. Ketika itu, rakan senagaranya sedang dirundung masalah, Barcelona ketinggalan jauh berbanding pendahulu liga, dan Rijkaard dilihat tidak akan kekal lama di Nou Camp.

Ketika itulah Davids datang bagaikan hero dan seperti biasa membiarkan orang lain mengikut rentaknya. Di atas padang, dia tidak pernah gentar, sama seperti ketika aku lihat dia di London dan Amsterdam. Sebaik sahaja dia masuk ke tengah padang, dia bertukar menjadi seakan-akan ribut yang akan menghancurkan pasukan lawan. Membantu Xavi di bahagian tengah, Barcelona melonjak dari tangga ketujuh ke tangga kedua, dan tahun berikutnya merangkul gelaran juara La Liga setelah lama menunggu.

Inilah Davids sepanjang kerjayanya, ribut yang meniup kencang dan menghancurkan pasukan lawan, datang dan pergi sesuka hati, menghiasi kota-kota ternama setiap kali dia singgah. Dan jika suatu hari nanti dia mahu menjual rahsia kepada keyakinan setinggi Gunung Everestnya itu, aku pasti akan berada di dalam barisan bersama ribuan lagi manusia yang menunggu.

Oleh Musa Okwonga
(www.tifofootball.com)