Malaysia Liga Super Malaysia

Selangor hilang dua tonggak menjelang pertemuan berdepan Negeri Sembilan dan JDT

Nampaknya Selangor bakal kehilangan dua tonggak utama untuk perlawanan berdepan Negeri Sembilan dan pendahulu liga, Johor Darul Ta’azim.

Dua pemain import Selangor dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn akan pulang ke Indonesia bagi menyertai Kejohanan Piala Ulangtahun Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang akan bermula pada Jumaat, 27 April depan.

Kejohanan Piala Ulangtahun PSSI ini diadakah sebagai salah satu rangka persiapan skuad bawah 23 tahun Indonesia menjelang Sukan Asia di Jakarta yang akan berlangsung tahun ini.

Sebelum ini, Selangor dikhabarkan telah bersetuju untuk melepaskan Evan dan Ilham jika mereka dipanggil ke skuad kebangsaan.

Evan dan Ilham akan terlepas perlawanan menentang Negeri Sembilan yang akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 28 April dan perlawanan getir bertemu juara bertahan, JDT di Stadium Larkin pada 1 Mei nanti.

Skuad kendalian Luis Milla akan berdepan Bahrain (27 April), Korea Utara (30 April) dan Uzbekistan ( 3 Mei), menggantikan tempat Malaysia yang terpaksa menarik diri kerana kekurangan pemain disebabkan kejohanan berlangsung di luar calendar FIFA sekaligus sukar mendapatkan pemain.

PSSI Anniversary Cup akan berlangsung di Stadion Pakansari Cibinong, yang juga venue acara bolasepak Sukan Asia.