Malaysia Luar Negara

Sarawak bakal terima kunjungan kelab A-League Perth Glory

Sarawak FA dilaporkan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Australia, Perth Glory, Ogos ini.

Kunjungan daripada pasukan yang beraksi di A-League itu disahkan sendiri oleh pemilik Perth Glory, Tony Sage, hasil memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan Sarawak FA.

Ketika Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) sedang berada dalam proses untuk meningkatkan bilangan pasukan dalam saingan A-League, Sage mempunyai visi tersendiri dan yakin hubungan yang dimeterai adalah satu langkah penting dalam meluaskan pengaruh A-League di serata Asia.

Katanya, beliau juga mahu melihat pasukan-pasukan dari Hong Kong, Singapura, Malaysia dan Indonesia dimasukkan ke saingan A-League menjelang musim 2019-2020.

“Rasa hebat akhirnya apabila dapat beraksi di Malaysia. Kenapa FFA hanya melihat dalam negara sendiri sahaja, sedangkan kita mempunyai 300 juta penyokong bola sepak di seluruh Asia.

“Hubungan sebegini hanya memerlukan satu keputusan yang berani dan sedikit politik dengan AFC.

“Saya akan cuba bawa masuk empat pasukan dalam dua proses meluaskan A-League, setiap satu datang dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan Hong Kong.

“Ini akan meningkatkan bilangan penonton yang akan menyaksikan dan mengikuti perkembangan bola sepak Australia dan yang paling penting, meningkatkan pendapatan penyiaran liga,” katanya kepada The World Game.

Perth Glory akan ke Borneo bagi menjalani sesi jelajah awal musim pada Ogos ini, dengan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Sarawak.