Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan umum perlantikan ketua jurulatih baru untuk baki musim 2018

Bekas jurulatih Syria, Fajr Ibrahim telah diberi tanggungjawab mengemudi skuad Kelantan FA untuk baki musim Liga-M 2018, hanya seminggu selepas dilantik menjadi Pengarah Teknikal kelab tersebut.

Perkara ini disahkan oleh presiden KAFA, Bibi Ramjani, yang turut berkata bahawa Fajr akan menandatangani kontrak tersebut secara rasmi hari ini.

“Insya-ALLAH, Fajer akan menjadi ketua jurulatih Kelantan dan kita memberi kuasa penuh kepada dia untuk membentuk semula pasukan berdasarkan sumber pemain sedia ada.

“Kita berharap kehadiran Fajer yang akan bergabung bersama barisan kejurulatihan tempatan dapat mengembalikan persembahan cemerlang pasukan dalam kempen Liga Super,” katanya kepada Sinar Harian.

Berita ini bermakna Yusri Che Lah akan kembali menjadi pembantu jurulatih, selepas dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih semenjak satu bulan lepas.

Fajr akan ditugaskan untuk mencetus semula kebangkitan Kelantan di pentas Liga Super dan juga Piala Malaysia pada hujung tahun ini, memandangkan mereka sudah tersingkir daripada saingan Piala FA.

The Red Warriors kini berada di tempat kedua tercorot di tangga liga, selepas hanya berjaya mengutip empat mata daripada lima perlawanan pertama.