Malaysia Liga Super Malaysia

Bekas penyerang kebangsaan mahu Shafiq diberi lebih peluang bersama Kelantan

Berilah dia peluang.

Itulah luahan bapa kepada penyerang Kelantan yang juga bekas penyerang kebangsaan Shaharuddin Abdullah kepada pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan Kelantan.

Shafiq Shaharuddin menyertai pasukan Kelantan musim ini selepas empat tahun bersama Johor Darul Ta’azim II (JDT II). Shafiq membuat keputusan berkenaan selepas sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad JDT II.

Menyangkakan nasib anaknya bakal berubah, Shaharuddin merestui pemergian anaknya ke skuad The Red Warriors. Dengan kehadiran semula Mohamed Ghaddar dan juga Bruno Lopes, Shafiq dilihat sering memanaskan bangku simpanan. Selepas lima perlawanan Liga Super, Shafiq masih belum pernah beraksi untuk Kelantan dan hanya diberi peluang dalam perlawanan Piala FA menentang Terengganu City di mana dia berjaya menjaringkan satu gol.

Shaharuddin dalam laporan Harian Metro turut mengakui bahawa kehadiran pemain import di Liga Malaysia mungkin antara punca kenapa ramai pemain muda tidak diberi peluang.

“Saya bukan mahu memuji anak sendiri tapi tahu sejauh mana kemampuannya kerana mengikuti perkembangan karier Shafiq sejak kanak-kanak. Dia memang mewarisi bakat serta mampu menggantikan saya walaupun belum mencapai tahap saya. Tapi sayang, dia lambat berkembang kerana jarang diturunkan sebagai pemain utama. Kalau digunakan hanya sebagai pemain gantian.

“Kadang-kadang bila difikirkan, ada benar juga kata orang kehadiran pemain import menyebabkan bakat muda kita terjejas kerana setiap pasukan lebih mengutamakan tenaga import,” kata pemain era 1960-an hingga 170-an itu kepada Arena Metro.

Kelantan kini berada di tangga kedua tercorot selepas sekadar memungut empat mata daripada lima perlawanan. Dalam lima perlawanan tersebut, Kelantan hanya berjaya menang dan seri satu perlawanan sementara tewas baki tiga lagi perlawanan mereka. Kelantan juga cuma menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan tersebut dengan tiga daripada gol tersebut dijaringkan dalam kemenangan 3-2 mereka ke atas Perak di Kota Bharu. Empat daripada lima gol Kelantan dijaringkan oleh pemain Korea Selatan, Do Dong-Hyun.