Bolasepak adalah sukan yang dimainkan bukan sahaja oleh lelaki, tetapi juga wanita. Antara pemain-pemain bolasepak wanita yang terkenal di dunia adalah seperti Mia Hamm, Hope Solo, Alex Morgan, Marta, Toni Duggan dan ramai lagi. Bolasepak wanita dikuasai oleh negara-negara barat dan nampaknya Asia Tenggara masih ketinggalan.
Bagi menyelesaikan masalah ini, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah meminta semua kelab yang menyertai Liga 1 Indonesia agar mempunyai pasukan wanita mereka sendiri.
Menurut Setiausaha Agung PSSI, Ratu Trisha seperti dilaporkan AntaraNews, dia berharap musim depan semua pasukan boleh mempunyai pasukan wanita merek sendiri.
“Memang bukan sekarang (musim ini). Tetapi, proses pembentukan perlu berjalan. Kami harap tahun depan, semua pasukan di Liga 1 Indonesia akan mempunyai pasukan wanita mereka sendiri.
“FIFA dan AFC mempunyai dana 30 peratus untuk pembangunan bolasepak wanita. Jadi kita harus bersedia. Perancangannya adalah bukan sahaja Liga 1,tetapi Liga 2 dan Liga 3 juga akan mempunyai pasukan wanita di masa hadapan.”
Ratu Trisha turut menyatakan bahawa mereka akan turun ke kelab-kelab Liga 1 untuk membincangkan mengenai persiapan untuk membentuk pasukan wanita. Buat masa ini, mereka akan mengadakan kejohanan-kejohanan kecil di peringkat daerah bagi memudahkan pasukan-pasukan yang bertanding untuk diserap oleh kelab-kelab Liga 1.
Bagaimana pula dengan Malaysia? Adakah kita juga akan mengambil langkah yang sama?