Berita Asia

Bintang Belanda Wesley Sneijder kini menjadi mesin gol di Al-Gharafa

Pada Januari 2018, Wesley Sneijder telah memulakan perjalanan kariernya di Asia, iaitu di pentas Liga Qatar. Berpindah dari OGC Nice di Ligue 1, Sneijder menyeberang jauh ke barat Asia menuju ke liga yang turut disertai oleh Xavi Hernandez. Bagaimanakah perkembangannya ketika ini?

Sneijder telah tampil sebanyak 11 kali dalam 21 perlawanan Al-Gharafa musim ini. Ia bukan disebabkan gagal menyesuaikan diri tetpai kerana ketika dia tiba di sana, liga tersebut sudah berlangsung selama lima bulan, iaitu sejak September 2017. Bermakna, sejak menyertai kelab Arab itu, dia tidak pernah terlepas satu perlawanan pun.

Apa yang menarik, dia mencipta lapan gol daripada 10 perlawanan, termasuk dua gol dalam setiap tiga aksi terakhir! Situasi itu juga membuatkan pasukannya hanya tewas empat kali sejak ketibaannya, sambil baki aksi lain berakhir dengan mata penuh.

Tiga mata yang diraih Al-Gharafa itu bukan sekadar kemenangan biasa kerana ia melibatkan jaringan yang besar, seperti 4-2 menentang Umm Salal, 6-1 ke atas Al-Rayyan dan 3-0 ke atas Al-Sailiya. Walaupun sebelum ini terjerumus ke kedudukan pertengahan liga, mereka kini di kedudukan kelima, sekaligus mencerahkan harapan untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia.

Aksi yang meyakinkan oleh Sneijder kemudian membolehkannya dinobatkan sebagai ketua pasukan sejak Februari lalu. Aksi pertama Liga Juara-Juara Asia dalam Kumpulan A menentang Al-Jazira adalah perlawanan debutnya sebagai kapten, disusuli dengan satu jaringan tetapi tewas 3-2.

Selain liga domestik, ketajaman serta jiwa besar yang dimiliki Sneijder di Al-Gharafa juga boleh membantu pasukannya untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia. Ketika ini, Al-Gharafa menduduki tempat ketiga Kumpulan A, berkongsi mata dengan Al-Jazira yang berada di kedudukan kedua serta berbeza tiga mata dengan pendahulu, Al-Ahly.

Untuk layak ke pusingan seterusnya, mereka berdepan ujian getir apabila bakal melayani kunjungan Al-Jazira, sebelum melengkapkan aksi peringkat kumpulan bertemu Tractor Sazi Tabriz FC di Iran.