Luar Negara Eropah

Salam persaraan, Didier Drogba: Penyerang berkelas dunia yang tidak akan dilupakan

Dalam saingan bola sepak Perancis, nama Le Mans tidaklah segagah Bordeaux, Lyon, Marseille, Monaco atau Paris Saint-Germain (PSG). Bagaimanapun, pasukan yang berpengkalan di Barat Laut Perancis itu adalah permulaan karier buat Didier Drogba.

Di situlah tempatnya dia memulakan pencarian ilmu dalam dunia bola sepak. Drogba menghabiskan empat musim untuk memperkuatkan pasukan Le Mans yang ketika itu beraksi di pentas Ligue 2.

Pada musim panas 2001, dia membuat keputusan untuk mencuba angin baru, sekaligus berhijrah ke sebuah pasukan yang lebih besar, Avant Guingamp.

Dia menyertai Guingamp menerusi yuran perindahan berjumlah 80 ribu EURO, membuatkan dia agak tertekan dalam musim pertamanya. Bagaimanapun, musim keduanya tampak lebih istimewa. Beraksi dalam 39 perlawanan, penyerang dengan ketinggian 188 sentimeter ini berjaya membolosi gawang lawan sebanyak 21 kali.

Situasi itu pantas menarik perhatian Marseille sehingga membuatkan mereka yakin untuk cuba memancing Drogba menerusi jumlah 3.3juta EURO. Kelibat Drogba akhirnya dapat disaksikan di Stadium Velodrome bersama jersi Les Phoceens.

Berbeza dengan waktunya bersama Guingamp, Drogba jauh lebih matang ketika mewakili Marseille sehingga membolehkannya mencatat 32 jaringan hasil daripada 50 perlawanan.

Walaupun gagal membawa pasukannya menjuarai Ligue 1, dia bersama rakan sepasukan lain seperti Fabien Barthez, Mathieu Flamini serta Steve Marlet berjaya menempah tiket final Piala UEFA yang kini dikenali dengan nama Liga Europa. Malangnya, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Valencia kendalian Rafael benitez lebih hebat.

Aksi-aksi hebat Drogba bersama Les Phoceens telah mencetuskan fenomena dan menarik perhatian beberapa kelab Eropah. Antaranya adalah pemilik Chelsea, Roman Abramovich, yang sanggup mengeluarkan dana berjumlah 24 juta paun untuk memastikan penyerang itu beraksi di London.

Seperti yang diketahui ramai, perpindahan Drogba ke Chelsea menghadirkan kisah luar biasa. Kemampuannya sebagai mesin gol semakin jelas dilihat. Dia sering menjadi pilihan utama The Blues, tidak kira sama ada penyerang tunggal atau berganding dengan peledak lain.

Berbekalkan teknik kawalan bola serta visi yang memukau, Drogba pantas menjadi penyerang yang sukar dikawal oleh pertahanan. Ia disebabkan Drogba hadir dengan pakej lengkap bersama tubuh besar, pantas serta daya imbang badan yang luar biasa. Perkara itu diakui sendiri oleh dua benteng hebat dunia, Gerard Pique dan Nemanja Vidic.

Teknik yang tinggi juga membolehkan Drogba menyumbat gol dalam pelbagai cara dan gaya tidak kira dari udara, larian atau tendangan. Kehebatannya juga menjadi factor utama Chelsea telah muncul antara pasukan paling hebat di Eropah dari tahun 2004 sehingga 2012.

Walaupun sempat berhijrah ke Shanghai Shenhua dan Galatasaray, Drogba akhirnya kembali ke Stamford Bridge pada musim 2014/15.

Secara keseluruhan tempohnya bersama Chelsea, bintang skuad Ivory Coast ini telah tampil dalam 381 perlawanan bersama The Blues, mencipta 164 gol dan menghadirkan 86 bantuan jaringan. Catatan itu juga membolehkannya berada di tempat keempat dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea di belakang Frank Lampard, Bobby Tambling dan Kerry Dixon.

Kisah unik Drogba di Barat London juga disempurnakan dengan deretan kejuaraan buat Chelsea. Dia telah menghadiahkan 14 trofi, yang terdiri daripada empat kejuaraan liga, satu Piala FA dan Piala Liga, dua Piala Perisai Komuniti serta satu pingat Liga Juara-Juara Eropah.

Dia akhirnya membuat keputusan untuk mencuba nafas baru ke Kanada bagi memperkuatkan pasukan Montreal Impact yang beraksi dalam saingan Liga Amerika Syarikat, (MLS). Pada tahun 2017, Phoenix Rising menjadi destinasi seterusnya buat Drogba bagi aksi Liga Bolasepak United (USL), memegang status sebagai pemain dan pemilik kelab.

Satu-satunya perkara yang memalukan buat Drogba adalah kegagalan membawa pasukan kebangsaan meraih sebarang takhta juara walaupun ketika zaman kegemilangannya, Ivory Coast diperkuatkan oleh Emmanuel Eboue, Kolo Toure, Yaya Toure serta Didier Zokora, sekaligus dianggap generasi emas bagi negara Afrika itu.

Walaupun telah mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa pada 2014, dia kini masih memegang status selaku penjaring terbanyak Les Elephants dengan koleksi 65 gol hasil daripada 104 penampilan.

Tatkala usianya yang memasuki 40 tahun tempoh hari, Drogba jelas memikirkan tentang masa depannya dan semalam, dia akhirnya membuat keputusan untuk bersara secara tetap pada hujung musim ini. Bagaimanapun, namanya tetap akan kekal sebagai salah seorang penyerang berkelas dunia yang memiliki aksi penyudah yang tajam.