Luar Negara Eropah

Dari kelab bawahan ke pasukan gergasi: Karier Lassana Diarra yang berwarna-warni

Lassana Diarra mungkin antara pemain yang melalui tempoh permainan yang unik. Walaupun telah mengelilingi dunia dan beraksi bersama jumlah pasukan yang banyak, khidmatnya masih ditagih oleh gergasi Eropah, Paris Saint-Germain (PSG).

Meraikan ulang tahun ke-33 pada 10 Mac 2018, dia hampir dilupakan oleh segenap peminat bola sepak di seluruh dunia selepas meninggalkan Real Madrid pada 2012. Dia kemudian berhijrah ke beberapa kelab mewah seperti Anzhi Makachkala, Lokomotiv Moscow, Marseille dan Al-Jazira bagi saingan Liga Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Perpindahannya dari Santiago Bernabeu ke Anzhi pada enam tahun lalu merupakan antara pertukaran kelab yang menggemparkan bola sepak dunia. Walaupun berusia 27 tahun ketika itu, Anzhi, Lokomotiv dan Al-Jazira bukanlah hanya segelintir pasukan yang pernah meraih khidmatnya kerana pemain yang terkenal dengan nama panggilan “Lass” itu juga pernah menabur bakti bersama Portsmouth.

Keputusannya untuk menyertai Portsmouth pada awal 2008 juga membuatkan ramai pemerhati bola sepak mengangkat kening. Ketika itu, pemain yang memulakan perjalanan bola sepaknya bersama Le Havre telah pun merasai kehangatan bola sepak Inggeris bersama Arsenal dan Chelsea.

Buat penyokong Portsmouth, kehadiran Lass dilihat sesuatu yang positif. Dia mengulangi kejayaan di pentas akhir Piala FA bagi musim 2007/08 bersama The Blues sebaik sahaja menyarung jersi The Pompeys. Sehingga kini, kejayaan itu tetap menjadi kebanggaan mereka tatkala bersaing dalam saingan Liga Divisyen Tiga di England.

Lebih memeranjatkan, selepas Portsmouth, Real Madrid menjadi destinasi seterusnya buat Lass. Dia beraksi lebih daripada 100 kali buat Los Blancos di sepanjang empat musim di Bernabeu. Ternyata sentuhan ajaib yang pernah ditampilkan Claude Makalele dapat diterjemahkan oleh Lass bagi posisi tengah bertahan. Di bawah kendalian Jose Mourinho, dia menjulang trofi Piala Raja Sepanyol bagi musim 2010/11 dan LaLiga pada tahun seterusnya.

Walaupun memiliki banyak pengalaman, dia jelas mendatangkan banyak persoalan sewaktu berhijrah ke Paris. Situasi itu berlaku disebabkan Lass hanya tampil sebanyakl empat kali bersama Al-Jazira sebelum disahkan status selaku pemain ejen bebas dan peluang itu pantas dimanfaatkan Unai Emery untuk memberikannya kontrak selama satu tahun setengah.

Emery mengharapkan kehadiran pemain keturunan Mali itu mampu menyamai impak yang diberikan oleh Paulinho kepada Barcelona selepas berpindah dari Guangzhou Evergrande. Tanpa disedari, tindakan Emery itu sebenarnya lebih kepada untuk meneruskan kesinambungan Thiago Motta kerana pemain dari Itali itu sudah memasuki usia 35 tahun dan sering mengalami kecederaan.

Apa sahaja sebabnya, jelas sekali Lassana Diarra telah kembali membarisi pasukan elit Eropah yang mempunyai cita-cita besar iaitu PSG.