Luar Negara Eropah

Antonio Conte beri amaran kepada Alvaro Morata

Selepas beberapa kali menimbulkan masalah disiplin, pengurus Chelsea, Antonio Conte sudah hilang kesabaran terhadap penyerangnya, Alvaro Morata.

Dalam perlawanan menentang Crystal Palace, Morata bernasib baik tidak dibuang padang. Sudah dilayangkan kad kuning pertama, Morata menjatuhkan bendera dari tangan pembantu pengadil kerana marah.

Jika dibuang padang, Morata boleh terlepas perlawanan suku akhir Piala FA menentang Leicester City dan perlawanan derby London menentang Tottenham.

“Selalunya saya akan bersemuka dengan pemain terutamanya jika ada situasi yang perlu diperbaiki.

“Dan sudah tentu, ini adalah situasi yang kami boleh perbaiki dengan Alvaro.

“Dia memang tau jika ada kesilapan. Dalam kes ini, saya rasa dia boleh mengelak daripada dilayangkan kad kuning.”

Chelsea akan berdepan Barcelona dalam perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara minggu ini. Berada di dalam tekanan, Conte pastinya mengharapkan Morata akan menunjukkan aksi yang bagus dan membantu Chelsea mencatatkan kemenangan di Nou Camp selepas kali terakhir, seorang penyerang Sepanyol, Fernando Torres membantu Chelsea menewaskan Barcelona di tempat lawan.