Luar Negara

Mes Que Un Club: Kisah wartawan Football Tribe yang diberi peluang membuat liputan di Camp Nou

Baru-baru ini, salah seorang wartawan Football Tribe Indonesia, Mahir Pradana diberi peluang membuat liputan perlawanan derby Catalonia di antara Barcelona dan Girona di Stadium Camp Nou. Berikut adalah nukilan beliau tentang pengalaman yang cukup berharga itu.

Setelah beberapa kali mengunjungi Camp Nou untuk menyaksikan perlawanan Barcelona FC dari tempat duduk penonton, kali ini saya diberi peluang untuk membuat liputan sebagai wartawan. Jabatan Komunikasi Barcelona FC bukan sekadar membalas permintaan untuk membuat liputan daripada Football Tribe Indonesia, tetapi mereka juga begitu teruja untuk membuat satu tawaran yang tidak disangka-sangka oleh saya ataupun ketua editor Football Tribe Indonesia.

“Kami ingin membuat liputan mengenai anda yang sedang membuat liputan perlawanan kami. Kerana kami jarang menerima kunjungan wartawan dari Indonesia. Wartawan dan jurukamera kami dari Barca TV akan menemui anda di depan pintu 104 Stadium Camp Noi,” balas Jabatan Komunikasi FC Barcelona kepada kami.

Dua jam sebelum perlawanan bermula, saya sudah menunggu di depan pintu 104 dengan perasaan yang sungguh berdebar-debar. Para penonton belum mula memenuhkan stadium untuk menyaksikan perlawanan derby Catalonia di antara Barcelona dan Girona. Namun, pegawai perubatan dan keselamatan sudah bersedia di sekitar stadium.

Setelah menunggu lebih kurang 10 minit, saya dihampiri oleh wakil dari Jabatan Komunikasi dan jurukamera Barca TV. Kami dengan segera menuju ke ruang yang terletak berdekatan ruangan media di dalam Camp Nou. Ketika kamera dihidupkan, wartawan Barca TV menanyakan beberapa soalan, antaranya adalah bagaimana perasaan saya mendapat peluang membuat liputan perlawanan di stadium ini dan apa pendapat peribadi yang ingin saya sampaikan kepada pihak kelab.

Untuk jawapan terakhir, saya selitkan harapan ribuan penyokong fanatik Barcelona di Indonesia, iaitu untuk mereka turun dan mengadakan perlawanan persahabatan di Indonesia.

Kita pasti merasa pelik kenapa kelab yang terkenal dengan jolokan Blaugrana ini belum pernah mengunjungi Indonesia, sedangkan secara statistik, Indonesia adalah salah satu kelompok penyokong terbesar, sama ada di media sosial atau realiti. Padahal, mereka sudah pernah berkunjung ke negara-negara jiran seperti Thailand dan Malaysia.

Hasil temuramah dan ‘liputan dalam liputan’ dengan saya sebagai subjek akan dapat disaksikan di Barca TV pada minggu pertama atau kedua Mac 2018.

Terpesona karisma Marc-Andre ter Stegen dan Ernesto Valverde.

Ruang media di Camp Nou memang unik. Sepanjang enam tahun pengalaman saya membuat liputan perlawanan bolasepak di stadium-stadium Eropah, ini kali pertama saya melihat model ruang khas untuk media seperti di stadium ini. Ruangnya terletak di suatu ruangan khusus paling atas di Camp Nou dengan sudut penglihatan terus ke padang sehingga rasanya seperti menonton di kaca tv.

Ramai pengamal media samada media cetak atau elektronik dari pelbagai negara memenuhi ruangan khusus itu. Kami semua menjadi saksi satu persembahan hebat Lionel Mess yang menjaringkan dua gol, hatrik daripada Luis Suarez dan jaringan hebat daripada Philippe Coutinho. Saya juga kagum menyaksikan aksi hebat Marc-Andre ter Stegen menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Selepas perlawanan yang berakhir dengan keputusan 6-1 kepada Barca itu, kami bergegas ke ruangan mixed zone dan ruang sidang media. Saya terlebih dahulu ke ruangan mixed zone, iaitu ruangan khusus untuk para wartawan menemuramah pemain. Kali ini Girona diwakili kapten mereka, Alex Granell sementara Barca diwakili ter Stegen.

Penjaga gol Jerman itu memberitahu wartawan bahawa dia berpuas hati dengan persembahannya di perlawanan tersebut. Namun, dia kesal kerana gol pantas Girona yang menurutnya tidak akan terjadi jika rakan sepasukannya lebih berwaspada. “ Kami harus berkerja keras untuk memperbetul kesalahan-kesalahan seperti itu,” kata ter Stegen dalam Bahasa Sepanyol yang fasih.

Beberapa minit kemudian, saya sudah berada di ruangan sidang media. Saya terlepas sesi ketua jurulatih Girona, Pablo Machin, tetapi tepat pada masanya untuk sesi Ernesto Valverde. Jurulatih Barca itu menjawab satu persatu pertanyaan para wartawan dengan tenang, sambil sesekali berjenaka. “Kami gembira dengan kemenangan ini, kerana kami dapat mengekalkan jarak dengan pesaing kami,” kata Valverde.

Ketika ditanya mengenai peranan penting Messi dalam kemenangan tersebut, jurulatih berusia 54 tahun itu menjawab soalan itu dengan tenang: “Messi membuat semuanya kelihatan mudah. Namun sebenarnya tidak ada yang mudah. Kemenangan ini adalah hasil kerja keras semua pemain.”

Secara kesimpulannya, pengalaman saya membuat liputan secara langsung di Camp Nou pada 25 Februari itu tidak akan saya lupakan. Ternyata slogan ‘mes que un club’ (lebih dari sekadar kelab) adalah benar. Bukan hanya istimewa di padang, Barcelona FC juga memandang serius aspek komunikasi seperti menjga media sosial dan memberi layanan istimewa kepada wartawan dari Indonesia seperti saya.

Vamos, El Barca!