Luar Negara Eropah

Kehadiran Ernesto Valverde bawa sinar baru untuk Ivan “Rocketic” di Camp Nou

Musim 2017/18 boleh dikatakan sebagai tempoh kebangkitan Ivan Rakitic. Dalam dua musim sebelum ini, dia dilihat mengalami penurunan prestasi, namun segalanya berubah sebaik sahaja Ernesto Valverde mula mengendalikan Barcelona.

Tatkala usianya memasuki 30 tahun, pemain Croatia kelahiran Switzerland itu kembali membarisi kesebelasan utama Barca. Ia berlaku disebabkan bekas pengurus Athletic Bilbao itu adalah penggemar formasi 4-3-3, membolehkan Rakitic menempatkan diri di jentera tengah bersama-sama Andres Iniesta dan Sergio Busquets.

“Rakitic sangat penting bagi kami,” kata Valverde apabila ditanya mengenai spekulasi bahawa pemain tengah itu bakal dijual ke Liverpool.

“Dia memberikan keseimbangan dalam pasukan, membuatkan kami beruntung memilikinya. Sentiasa bekerja keras dalam bertahan, menyerang serta mencipta jaringan.”

Walaupun Valverde kini mula menggunakan pendekatan 4-4-2, tempat Rakitic tetap tidak terganggu apabila dia dilihat sering diletakkan sebagai pemain tengah bertahan. Bersama Busquets, kelibatnya sentiasa mencuri perhatian ketika aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Chelsea yang berakhir dengan keputusan 1-1.

Dilahirkan pada 10 Mac 1988 itu telah menjaringkan empat gol dan melakukan empat bantuan jaringan dalam 40 penampilan dalam semua kejohanan. Bagaimanapun, statistik itu tidak boleh dipersoalkan apabila melihat kepada kadar sumbangannya kepada pasukan. Peratusan pergerakan yang berjaya dijana oleh Rakitic melebihi 90 peratus, manakala dia mencatatkan 1.3 halangan yang sempurna secara purata, menjadikan satu rekod yang agak baik buat seorang pemain bukan pertahanan.

Penyokong-penyokong Barca jelas kecewa dengan prestasi bekas kapten Sevilla itu dalam dua musim sebelum ini tetapi corak permainannya tidak pernah stabil kerana sering terpinggir daripada pemerhatian pengurus sebelum ini, Luis Enrique.

Namun, dia tetap menjadi tonggak utama ketika membawa Barca meraih tiga kejuaraan pada musim 2014/15. Diberi jolokan “Rocketic”, dia juga turut meletakkan nama dalam senarai penjaring gol di aksi final bertemu Juventus. Tanpa diketahui sebabnya, Rakitic tetap sering menjadi mangsa korban dalam sistem penggiliran yang diterapkan oleh Enrique.

Kesan besar gandingan daripada Neymar, Luis Suarez dan Lionel Messi menyebabkan Enrique lebih menitikberatkan aspek serangan sehingga menyebabkan dia terlepas pandang akan abiliti penuh yang dimiliki bintang Croatia itu walaupun Rakitic menjaringkan 17 gol dalam dua musim bersama bekas pemain Sepanyol itu.

Tatkala aksi yang kian memikat, sudah pasti ramai peminat tidak sabar mahu menyaksikan kelibatnya di atas padang bersama Luka Modric bagi pasukan Croatia dalam saingan Piala Dunia 2018 di Russia, Jun depan. Pentas berprestij dunia itu mungkin yang terakhir buat bekas pemain FC Basel dan Schalke 04 itu.