Luar Negara Eropah

Eden Hazard dan darah bola sepak dalam keluarganya

“Bola sepak adalah sebahagian daripada keluarga saya.”

Itu kata-kata daripada Eden Hazard dalam sebuah video yang mempromosikan salah satu penaja Chelsea, Yokohama Tires. Kenyataan itu berdasarkan fakta dan buka sengaja diwujudkan. Darah bola sepak memang benar-benar ada dalam diri serta keluarganya. Bermula dari generasi sebelumnya sehingga ke adik-adik, semua ahli keluarganya pernah dan masih terlibat dengan bola sepak.

Ayahnya, Thierry Hazard, adalah bekas pemain amatur yang beraksi dengan salah satu pasukan daripada Liga Divisyen Tiga Belgium, Louviere. Thierry bermain sebagai pemain tengah bertahan. Dalam satu sesi temubual dengan media Inggeris, Hazard menceritakan bahawa dia pernah menonton bapanya bermain bola. Dia menyifatkan ayahnya seorang yang tenang tidak kira ketika memegang bola atau tidak. Thierry bersara pada tahun 2009.

Ibunya, Carine Hazard, juga seorang pemain bola sepak wanita. Lebih menarik, dia masih aktif beraksi walaupun ketika mengandungkan Hazard selama tiga bulan. Berbeza dengan suaminya, Carine merupakan seorang penyerang dalam saingan Divisyen Satu Liga Wanita Belgium.

Adiknya yang paling bongsu, Ethan Hazard, baru berusia 14 tahun dan kini sedang menimba ilmu bersama Akademi Bolasepak Tubize, kelab dimana Hazard dan adik-beradiknya yang lain memulakan karier.

Sebelum Ethan adalah Kylian. Baru-baru ini, dia mengikut jejak langkah dua abangnya, menyertai skuad Chelsea B-23 pada Ogos lalu. Dia beraksi di posisi sayap kiri dan telah beraksi sebanyak 12 kali sambil mencatat dua jaringan. Sebelum ke Stamford Bridge, dia sempat beraksi mewakili pasukan Ujpest FC, iaitu salah satu pasukan Divisyen Satu Liga Hungary. Di sana, dia tampil sebanyak 42 kali dan menyumbat empat serta lima bantuan jaringan.

Adik yang paling dekat usia dengan Eden Hazard adalah Thorgan. Malah, dia yang paling dikenali. Thorgan sebenarnya sudah bersama Chelsea sebelum ini tetapi tidak menyinar. Dia dipinjamkan ke beberapa pasukan sebelum dibeli oleh Borussia Monchengladbach. Di Jerman, dia menunjukkan permainan yang menarik, membolehkannya merakamkan tujuh gol dan tujuh bantuan jaringan.

Kewujudan darah bola sepak yang mengalir dalam tubuh Eden Hazard membuatkan kehebatannya bukan sesuatu yang memeranjatkan. Dalam video yang sama juga dia mengatakan bahawa keghairahan bola sepak sejak kecil telah mempengaruhi aksinya di atas padang, ketika ini.

Kylian kini sudah bersama Eden di England walaupun sekadar bersama pasukan belia dan kemungkinan Thorgan juga akan kembali menyarung jersi The Blues. Ethan mungkin memerlukan sedikit masa kerana dia masih muda dan tiada salahnya jika membayangkan tiga beradik itu beraksi dalam satu pasukan yang sama, sama ada Chelsea atau skuad kebangsaan Belgium.