Artikel ini adalah nukilan peribadi penulis dari perspektif seorang penyokong Kuala Lumpur.
Klang Valley Derby part 2.
Kuala Lumpur dan Selangor memang tidak dapat lari lagi daripada bertemu sesama sendiri. Ibarat pertemuan AC Milan dan Inter Milan di suku akhir Liga Juara-Juara 2004/05.
Selangor seperti ramai tahu berkongsi menggunakan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Pada perlawanan pembukaan Liga Super yang lalu, penyokong Selangor membanjiri Stadium Cheras walaupun Kuala Lumpur yang bermain sebagai tuan rumah.
Menjelang pertemuan timbal balik suku akhir Piala FA kali ini, persoalannya, adakah penyokong Selangor akan membanjiri stadium untuk kedua-dua perlawanan? Adakah Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur akan membiarkan sahaja perkara ini berlaku?
Kalau dilihat musim ini, kehadiran semula Kuala Lumpur ke Liga Super nampaknya tidak mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penyokong City Boys. Kesemua perlawanan Kuala Lumpur, kecuali perlawanan bertemu Kuching FA di Piala FA, didominasi penyokong lawan.
Mungkin setakat ini, paling ramai kehadiran penyokong Kuala Lumpur adalah ketika menentang Johor Darul Ta’azim (JDT) dan itupun pembahagian tempat duduk adalah 80 untuk penyokong JDT dan 20 untuk penyokong KL.
Adakah penyokong KL malas mahu turun ke stadium? Atau penduduk KL sendiri tidak tahu Kuala Lumpur mempunyai pasukan bolasepak? Atau adakah kurangnya promosi daripada KLFA untuk menarik dan memperkenal pasukan Kuala Lumpur kepada penyokong?
Pasukan City Boys kini sudah ke suku akhir dan kini ditakdirkan bertemu musuh ketat, Selangor. Seharusnya promosi dan propaganda sudah dirancang mulai sekarang. Kelebihan bermain di tempat sendiri perlu digunakan sebaiknya. Apa guna ada format Home dan Away kalau kedua-duanya seperti beraksi di tempat lawan?
Nama-nama seperti Zaquan Adha, Indra Putra, Irfan Zakaria, Syazwan Andik, Guilherme De Paula perlu digunakan untuk menarik minat penyokong KL. Kuala Lumpur sudah membuktikan bahawa mereka tidak boleh dipandang rendah di atas padang dengan kemenangan ke atas JDT, Kedah dan Melaka United. Bahkan, perlawanan pembukaan di antara Selangor dan Kuala Lumpur menenggelamkan kehangatan Piala Sumbangsih di antara Kedah dan JDT di media sosial. Sudah sampai masa pasukan ibu kota seperti Kuala Lumpur ada akaun Twitter mereka sendiri. Dari situ mereka boleh meluaskan lagi pemasaran pasukan Kuala Lumpur.
Bagi warga Kuala Lumpur pula, bangunlah. Sudah sampai masa kita penuhkan stadium. Kuala Lumpur mempunyai lebih daripada 1 juta penduduk. Kapasiti untuk Stadium Cheras adalah lebih kurang 18,000 penonton. Takkan kita tidak boleh mendapatkan minimum 1% daripada jumlah keseluruhan penduduk Kuala Lumpur? Bangkitlah wahai warga Kuala Lumpur.
Sudah sampai masanya KLFA dan penyokong berpadu tenaga. Alang-alang sudah ke suku akhir, marilah kita sasar terus ke perlawanan akhir. Ini salah satu pintu ke Asia. Untuk menjuarai liga mungkin sukar, tetapi dalam format Piala FA ini, apa sahaja boleh terjadi. Tidakkah anda mahu menjadi sebahagaian daripada sejarah? Sampai bila anda sekadar mahu mendengar cerita mengenai betapa hebatnya Kuala Lumpur suatu masa dahulu? Mari kita gegarkan Stadium Cheras dan tunjukkan kepada semua, bahawa helang kota sudah sedia untuk berjuang!