AFC Cup

JDT hadapi kesukaran bermain di atas padang sintetik?

Adakah padang sintetik memberi masalah kepada Johor Darul Ta’azim (JDT) dalam perlawanan mereka menentang Tampines Rovers semalam?

Dalam satu kenyataan dari ketua jurulatih JDT, Raul Longhi menerusi laman Facebook, Johor Southern Tigers, dia menyatakan bahawa taktikal mereka agak terganggu kerana bermain di atas padang sintetik.

“Para pemain kami telah cuba bermain dengan mengunakan taktikal hantaran pendek dalam perlawanan ini dan ia agak sedikit sukar di atas padang sintetik. Namun inilah bola sepak. Padang kami berbeza dan saya menjangkakan Tampines Rovers akan mengalami sedikit kesukaran untuk bermain di padang kami memandangkan mereka sentiasa bermain di atas padang sintetik,” kata Raul Longhi

Agak aneh untuk JDT memberikan alasan tersebut, kerana sedia maklum, JDT adalah pasukan yang mempunyai kemudahan terbaik di Malaysia kalau bukan di Asean. Pastinya mereka juga mempunyai padang sintetik atau jika tidak ada, mereka pasti sudah bersedia kerana sudah tahu akan bermain di atas padang sintetik.

Photo credit: Facebook Johor Southern Tigers

Atau mungkinkah sistem penggiliran pemain yang mengganggu perancangan JDT? Mereka mempunyai perlawanan yang penting pada hari Sabtu ini menentang Terengganu, jadi beberapa pemain utama direhatkan dan pemain lain diberi peluang menunjukkan bakat mereka.

Mungkin juga itu satu perkara yang menggugat mereka kerana JDT satu-satunya kelab yang bermain dalam tiga kejohanan di Malaysia. Namun, dengan skuad yang besar, itu tidak sepatutnya menjadi masalah buat JDT kerana pemain simpanan juga ramai yang merupakan pemain kebangsaan? Adakah sebenarnya JDT sudah mula melihat Liga Juara-Juara Asia musim hadapan berbanding kejuaraan Piala AFC tahun ini?

Mungkin ada benarnya tindakan mereka jika mahu fokus ke Liga Super kerana ianya akan memberikan mereka slot ke Liga Juara-Juara Asia pada tahun hadapan. Oleh itu, sudah tentu mereka perlu memberikan kepentingan kepada Liga Super. Bagi saingan Piala AFC pula, mereka masih ada dua perlawanan di tempat sendiri, jadi pastinya mereka mampu mengutip mata penuh dalam perlawanan tersebut.

Melihat kepada apa yang terjadi kepada JDT, mungkinkah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) boleh mengubah format Piala AFC dengan memberikan slot ke Liga Juara-Juara Asia kepada pemenang Piala AFC, seperti yang dilakukan oleh UEFA?