Malaysia Liga Super Malaysia

Tewas kepada PKNP, kesilapan Effandi kembali hantui Kuala Lumpur

Selepas beraksi baik ketika menentang JDT, mimpi ngeri kembali buat penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi apabila melakukan kesilapan sekali lagi yang menyebabkan skuad City Boys tewas 2-1 kepada PKNP dan kini berada di tangga terbawah liga.

Permainan di waktu petang dan cuaca panas sedikit mengganggu perlawanan di antara dua pasukan terbawah Liga Super Malaysia, PKNP dan Kuala Lumpur di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

SHAHREL FIKRI KEMBALI

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel Da Silva mengekalkan kesebelasan utama pasukannya yang menewaskan Johor Darul Ta’azim dalam perlawanan lalu. Zaquan Adha pula pertama kali tersenarai dalam pasukan buat musim ini bersama Kuala Lumpur di bangku simpanan.

Bagi PKNP pula, Abu Bakar Fadzim dapat kembali menggunakan khidmat ketua pasukan Muhammad Shahrel Fikri kembali memperkuat pasukan dengan pemain Kemboja Keo Sokpheng berada di bangku simpanan.

KESILAPAN EFFANDI BAWA PADAH

Penjaga gol kedua-dua pasukan menjadi tumpuan di separuh masa pertama apabila Tian Keat See (PKNP) dan Kamarul Effandi masing-masing melakukan kesilapan yang hampir memberikan kepada pasukan lawan. Percubaan paling menarik pada separuh masa pertama menerusi tandukan Shahrel Fikri tetapi diselamatkan Kamarul Effandi.

PKNP terus mengasak pada separuh masa kedua perlawanan. Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya PKNP berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan Ritus Krjauklis pada minit ke 65 selepas PKNP memenangi sepakan sudut. Gol kedua PKNP terhasil akibat kesilapan penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi. Rembatan yang tidak begitu bahaya oleh Irwan Syazmin pada minit ke 78 telah masuk di celah kakinya dan memberikan gol kedua PKNP. Kuala Lumpur berjaya merapatkan jurang selepas rembatan Ashri Chuchu ditampan masuk ke gawang sendiri oleh Ganiesh Gunasegaran pada minit ke 80. Perlawanan berakhir 2-1.

KRJAUKLIS KEKANG DE PAULA

Ritus Krjauklis bukan sekadar berjaya membuka jaringan untuk PKNP, tetapi pemain pertahanan Latvia ini berjaya mengawal penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula sepanjang perlawanan. Walaupun bolos satu gol, tetapi kerja keras Krjauklis berjaya membantu PKNP menang perlawanan ini.

LIGA SUPER VS LIGA FAM

Aksi seterusnya buat Kuala Lumpur dan PKNP adalah dalam saingan Piala FA dengan kedua-duanya akan berdepan pasukan di Liga FAM. City Boys akan menerima kunjungan pasukan dari Sarawak, Kuching FA, sementara PKNP akan bertandang ke gelanggang Shahzan Muda di Temerloh.