Malaysia Liga Super Malaysia

Ahmad Bashah gesa penyokong Kedah beri masa kepada pemain import

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah telah menggesa penyokong Kedah untuk bersabar dan memberi barisan pemain import mereka lebih masa untuk menyesuaikan diri. 

Penyokong Kedah dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi penyerang import mereka, Pablo Pallares setakat ini, manakala Alvaro Silva pula masih belum membuat sebarang penampilan untuk skuad Helang Merah.

“Tiga perlawanan awal walaupun ada penyokong yang tidak berpuas hati dengan prestasi semasa beberapa pemain import namun kami bagi peluang dan masa untuk mereka sesuaikan diri,” ujar Ahmad Bashah, menurut laporan Sinar Harian.

“Mereka cuba dan masih mencari keserasian dengan corak permainan pasukan ini. Lama-kelamaan mereka akan menyesuaikan diri dan memainkan peranan sebaik mungkin. 

Kedah akan turun beraksi menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam malam esok dalam misi memburu kemenangan kedua mereka di pentas Liga Super musim ini. Pertembungan ini dilabel sebagai tugas yang sukar untuk Kedah, namun Bashah yakin bahawa skuad Marcote mampu melakar kejutan.

“Kita tengok PKNS FC juga agak sukar tetapi Kedah akan cuba sebaik mungkin berdasarkan semangat satu pasukan yang tinggi. 

“Tiada yang mustahil, Adat perlawanan biasalah ada kalah dan menang tapi jika turun bermain bersungguh-sungguh beraksi sebagai satu pasukan, saya percaya Kedah boleh,” tambah Ahmad Bashah.