Malaysia Liga Super Malaysia

Kepulangan Liridon Krasniqi dan Alvaro Silva jadi tonik penting buat Kedah

Pengendali Kedah, Ramon Marcote berharap bahawa kepulangan Liridon Krasniqi dan Alvaro Silva mungkin akan membantu pasukannya menewaskan skuad PKNS di Stadium Shah Alam, malam esok.

Liridon akan pulang selepas digantung untuk perlawanan menentang PKNP, dua minggu lepas, manakala Alvaro Silva pula dikhabarkan telah pulih daripada kecederaannya, dan bakal membuat penampilan pertama untuk Kedah.

“Saya berharap dengan kembalinya beberapa pemain utama selepas pulih dari kecederaan seperti Alvaro Silva dan Liridon Krasniqi, mampu memperkuatkan pasukan.

“Pertembungan dengan PKNS FC di depan penyokong mereka adalah ujian getir buat kita tetapi saya yakin kita boleh memberi cabaran kepada pasukan tuan rumah,” kata Marcote, menurut laporan Arena Metro

Meskipun tewas di dalam dua perlawanan pertama mereka, Kedah berjaya bangkit semula dalam perlawanan ketiga, sekaligus menewaskan PKNP untuk meraih tiga mata pertama mereka untuk musim ini.