Malaysia Liga Super Malaysia

Veenod tekad mahu jadi ‘perancang’ skuad The Red Warriors

Pemain tengah Kelantan, S. Veenod tekad mahu berkembang menjadi perancang yang penting untuk pasukannya di pentas Liga Super Malaysia, musim ini.

Biarpun The Red Warriors masih belum memenangi sebarang perlawanan, Veenod yakin bahawa pasukannya mampu bangkit semula, bermula dengan perlawanan menentang Perak di Kota Bharu hujung minggu ini.

“Setiap pemain mempunyai impian bersama pasukan mereka. Sudah tentu saya juga ada memasang impian untuk menjadi antara pemain berbisa dalam pasukan ini,” kata Veenod, menurut laporan Arena Metro.

“Walaupun pasukan sudah mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan, tapi saya yakin selepas ini Kelantan akan bangkit dan membuat kejutan.

“Apa pun, jika terpilih dalam kesebelasan utama pada perlawanan Sabtu ini, saya akan melakukan yang terbaik dan membantu pasukan mencipta kemenangan pertama di laman sendiri.

Selepas gagal meraih sebarang kemenangan, Kelantan membuat keputusan untuk memecat Sathit Bensoh baru-baru ini. Namun, mereka masih belum melantik penggantinya, bermakna penolong jurulatih, Yusri Che Lah dijangka akan mengambil alih perlawanan hujung minggu ini.