Luar Negara

Mauro Icardi jadi sasaran projek Galacticos baru?

Belum berakhir liga di Eropah musim ini, sudah ada banyak ramalan mengenai siapa yang bakal menjadi pembelian termahal dan terbesar di jendela perpindahan musim panas nanti.

Dengan Piala Dunia yang bakal berlangsung di Russia, pastinya ramai pemain yang akan cuba menarik perhatian kelab-kelab besar di Eropah. Namun, satu nama yang sering disebut bakal menjadi berita utama di jendela perpindahan adalah penyerang Inter Milan, Mauro Icardi.

Menurut ejen bolasepak Federico Pastorello, penyerang Argentina itu akan menjadi berita hangat di penghujung musim ini dan yakin dia akan meninggalkan Inter Milan.

“Icardi? Dia akan menjadi perpindahan terbesar pada musim panas nanti,” kata Pastorello seperti dilaporkan Daily Mail.

Tidak lengkap satu perpindahan besar jika tidak melibatkan antara kelab terbesar di Eropah, Real Madrid. Juara Eropah musim lalu itu dikhabarkan bersedia membayar klausa pelepasan Icardi bernilai £97.8 juta.

Real Madrid berdepan masalah di bahagian serangan, dan mereka merasakan Icardi yang telah menjaringkan 18 gol dari 22 perlawanan Serie A dapat membantu mereka musim hadapan.

Sejak menyertai Inter Milan dari Sampdoria, Icardi telah menjaringkan 89 gol dari 149 perlawanan, namun dengan situasi Inter yang terus bergelut untuk bersaing merebut kejuaraan Serie A, pastinya Icardi bersedia berpindah.

Saksikan perlawanan Serie A yang terpilih secara ‘LIVE in HD’ melalui platform SportsFix. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.sportsfix.tv