Hujung minggu ini, Juventus akan turun padang menentang Inter Milan dalam perlawanan yang sudah tentu akan menjanjikan aksi-aksi yang cukup mendebarkan. Jika sejarah di antara kedua-dua pasukan tidak cukup, prestasi semasa yang ditunjukkan oleh Juventus dan Inter Milan bakal menjadi faktor yang akan menarik perhatian jutaan peminat bolasepak Serie A di seluruh dunia.
Inter kini berada di puncak Serie A dengan 39 mata daripada 15 perlawanan, namun Juventus hanya berada dua mata di belakang mereka, di posisi ke-3. Napoli berada di kedudukan ke-2 dengan 38 mata. Jadi, perlawanan ini boleh mempunyai impak yang besar dalam perlumbaan untuk kejuaraan liga.
Namun, perlawanan ini juga cukup mendebarkan kerana setiap kali Juventus dan Inter turun padang, dunia bolasepak seringkali disajikan dengan insiden-insiden yang kontroversial. Di bawah, kami telah menyenaraikan enam insiden kontroversial yang pernah berlaku dalah sejarah Derby D’Italia.
Juventus 1-0 Inter Milan (26 April 1998)
https://www.youtube.com/watch?v=lB4NIZYxOLo
Perlawanan ini berlaku apabila Inter dan Juventus sedang bersaing sengit untuk memenangi Serie A pada tahun 1998, dan Juve berjaya meletakkan diri mereka di hadapan dalam perlawanan ini, melalui gol Del Piero pada babak pertama. Namun, pada separuh masa kedua, bintang Inter Milan, Ronaldo menunjukkan skil yang cukup tinggi untuk mengelecek melalui barisan pertahanan Juve. Pemain pertahanan Juventus, Mark Iuliano cuba menghentikan Ronaldo dan melemparkan dirinya di antara bola dan pemain Brazil itu. Dari pandangan pertama, memang wajar untuk Inter diberikan sepakan penalti. Namun, pengadil perlawanan tidak bersetuju. Beberapa minit selepas itu, Juventus pula diberikan sepakan penalti apabila Del Piero dijatuhkan oleh Taribo West. Keputusan itu mencetus kemarahan ketua jurulatih Inter, Luigi Simoni, yang kemudiannya diarah untuk keluar padang. Apa jadi selepas itu? Del Piero tidak berjaya menjaringkan sepakan penalti tersebut dan skor kekal 1-0 sehingga penghujung perlawanan.
Inter Milan 1-1 Juventus (19 October 2002)
Cuba bayangkan situasi ini. Juventus berada 1-0 di hadapan dalam perlawanan ini, selepas Del Piero menjaringkan sepakan penalti pada babak pertama. Namun, pada minit ke-95, Inter Milan berjaya menjaringkan gol yang kontroversial untuk menyamakan kedudukan. Selepas diberi tendangan sudut, tiga pemain Inter menerjah Buffon sambil membuat cubaan untuk menjaringkan gol. Penjaga gol Inter, Toldo diberikan kredit untuk gol itu pada mulanya, sebelum gol tersebut akhirnya diberikan kepada Bobo Vieri. Tetapi sampai hari ini, jika anda melihat video insiden tersebut, memang susah untuk memahami keputusan Pierluigi Collina untuk memberikan gol tersebut.
Juventus 0-1 Inter Milan (28 Ogos 2005)
Dengan berbaki dua minit sahaja lagi dalam separuh masa pertama perlawanan Super Cup ini, Zlatan Ibrahimovic berjaya membuat hantaran yang cukup baik kepada David Trezeguet yang menunjukkan ‘finishing’ yang cukup baik untuk menjaringkan gol yang cantik. Namun, jaringan tersebut tidak diberikan kerana Trezeguet dikatakan berada dalam kedudukan ‘offside’, walaupun video perlawanan tersebut akan menunjukkan bahawa beliau sememangnya ‘on-side’. Skor perlawanan kekal 0-0 sehingga penghujung 90 minit, sebelum Inter menjaringkan gol dalam masa tambahan untuk memenangi Super Cup pada tahun 2005.
Inter Milan 1-2 Juventus (22 Mac 2008)
Perlawanan ini berlangsung hanya dua tahun selepas skandal Calciopoli, di mana tahap kebencian terhadap Juventus masih tinggi. Juve berkunjung ke kandang Inter untuk perlawanan ini dan berjaya meraih kemenangan 2-1. Walau bagaimanapun, gol pertama Juve, yang dijaringkan oleh Mauro Camoranesi, jelas ‘off-side’. Sampai hari ini, penyokong Inter yang hadir pada perlawanan tersebut, masih tidak puas hati dengan hakikat bahawa gol Camoranesi dibenarkan.
Inter Milan 1-2 Juventus (29 Oktober 2011)
https://www.youtube.com/watch?v=io_MhB6ONbk
Insiden ini agak aneh juga namun penyokong Juve tidak menyimpan dendam kerana mereka tetap berjaya meraih tiga mata. Dengan skor perlawanan berada pada kedudukan 2-1, Marchisio diberi peluang yang cukup bagus untuk menjaringkan gol ketiga Juve. Namun, dalam kedudukan ‘one-on-one’ dalam kotak penalti, penjaga gol Inter, Castellazzi, menjatuhkan Marchisio, sekaligus mencetus kemarahan penyokong Juve dalam stadium. Juve sememangnya layak diberi sepakan penalti dan Castellazzi sepatutnya diberi arahan keluar padang. Tetapi, pengadil perlawanan memilih untuk mengabaikan insiden tersebut.
Juventus 1-0 Inter Milan (5 Februari 2017)
Insiden ini tidak sebesar yang lain namun dalam separuh masa kedua apabila Juve berada 1-0 dihadapan Inter, Chiellini hampir menghadiahkan gol penyamaan untuk Inter. Pasukan tuan rumah diberikan sepakan percuma dan pemain pertahanan Juve itu menyepak bola ke arah Buffon, sebelum penyerang Inter, Mauro Icardi berjaya memintas bola itu dan meletakkan dirinya dalam kedudukan ‘one-on-one’. Namun pengadil menghentikan perlawanan itu atas alasan Chiellini menyepak bola sebelum wisel dibunyikan. Pemain-pemain Inter jelas marah dengan keputusan tersebut namun, pengadil tidak berganjak dari keputusannya.