Luar Negara

Bekas pemain tengah Manchester United dan Ireland meninggal dunia

Bekas pemain tengah Manchester United, Celtic dan Sunderland, Liam Miller telah meninggal dunia akibat barah pankreas pada umur 36 tahun.

Miller yang membuat 21 penampilan untuk Republik Ireland telah didiagnos menghidap barah tersebut pada tahun lalu ketika menjalani rawatan di Amerika Syarikat dan Ireland.

Miller memulakan kerjayanya sebagai pemain bolasepak bersama Celtic pada tahun 2000 dan membantu kelab Scotland tersebut menjuarai Liga Scotland pada tahun 2004.

Dia kemudiannya berpindah ke Manchester United dan membuat 22 penampilan untuk skuad Sir Alex Ferguson sebelum berpindah ke Sunderland pada tahun 2006.

Bersama Roy Keane selaku jurulatih, Miller adalah sebahagian daripada skuad Sunderland yang berjaya membawa Black Cats ke Liga Perdana Inggeris dari Liga Kejohanan pada tahun 2007.

Liam Miller juga pernah beraksi untuk QPR, Hibernian, Perth Glory, Brisbane Roar, Melbourne City dan kelab tempat kelahirannya Cork City sebelum menamatkan kerjayanya bersama Wilmington.

Kami di Football Tribe Malaysia mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga Liam Miller.